suria

Aliff Minta Maaf Curang, Afifah Jangan Dolak-Dalik!

Aliff Aziz dan Bella Astillah ketika mengadakan sidang media berhubung kontroversi rumah tangga mereka. FOTO: SAM THAM

SHAH ALAM: Penyanyi Aliff Aziz akhirnya mengaku sikap kerana curang terhadap isterinya Bella Astillah selepas dia kantoi berdua-duaan dengan Nur Afifah Nasir di kelab karaoke, Khamis lalu. 

Aliff, 26,  berkata, dia tidak mahu menafikan perkara berkenaan, sebaliknya meminta maaf kepada semua pihak yang terjejas kerana kontroversi itu. 

"Sebagai manusia biasa saya tidak lepas daripada buat kesilapan dan saya akui melakukan perkara itu atas sebab-sebab yang tidak dapat saya jelaskan.  

"Apa yang saya boleh katakan, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Perkara sebenarnya hanya saya dan dia (Afifah) sahaja yang tahu," ujarnya.  

Aliff ditemui pada sidang media berhubung kes itu di Hotel Roof Garden, dekat sini, pada Isnin.  

Ia pertemuan pertama Aliff dengan wartawan selepas dilanda kontroversi berkenaan. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang Khamis lalu, Bella, 23, bersama ibunya mencari Aliff dan mendapati dia bersama seorang wanita bernama Nur Afifah Nasir di pusat hiburan tersebut. 

Aliff Aziz dikerumuni wartawan yang ingin mengetahui apa sebenarnya berlaku mengenai kontroversinya curang.

Aliff ditahan polis pada 2.30 pagi Jumaat dan dibebaskan sehari kemudian. 

Malah, Bella telah menarik balik laporan polis pada hari yang sama. 

Dalam pada itu Aliff berkata, kesilapan tersebut merupakan paling besar yang pernah dilakukan dalam kehidupannya yang mana turut melibatkan beberapa pihak lain. 

"Saya harap pihak Afifah tidak berdolak-dalik dan berfikiran sama untuk mengaku bersalah. Pada saya dia tidak perlu untuk menegakkan benang yang basah.  

"Kalau niatnya mahu menjaga reputasi, ia sudah pun berakhir," ujarnya. 

Aliff dan Afifah berlakon dalam sebuah drama yang sama. 

Dalam kesempatan itu, Aliff turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan memukul isteri dalam kejadian tersebut.  

Katanya, kecederaan yang dialami oleh Bella adalah akibat pergelutan yang berlaku antara mereka. Malah dia tidak berniat untuk mencederakan isterinya itu.  

"Dakwaan saya pukul isteri seperti yang ditulis di akhbar sangat berat buat saya. Saya tidak pukul Bella, malah kenyataannya di dalam laporan itu hanyalah mengasari tanpa sengaja.  

"Saya bukan jenis manusia kaki pukul dan tidak pernah sekalipun memukul siapa-siapa dengan sengaja," ujarnya.  

Aliff berkata, dia sekali lagi meminta maaf kepada semua pihak terutama isterinya dan ahli keluarga atas kejadian memalukan itu.  

Malah, dia juga meminta maaf kepada keluarga Afifah yang turut terkesan dengan kontroversi berkenaan.  

Mengenai penahanannya di lokap Aliff berkata ia memberi pengajaran berguna buat dirinya. 

"Dua hari di dalam lokap memberi pengajaran bermakna buat saya tentang erti kebebasan. Saya bersyukur isteri juga telah menarik laporan itu dan memberi peluang kedua kepada saya," jelasnya.

Aliff yang berasal dari Singapura dan Bella berkahwin pada September tahun lalu dan baru sahaja dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Ayden Adrean, pada 8 Julai lalu.

Aliff Aziz, Afifah, Bella Astillah

Artikel Berikut

Artikel Lain