suria

Masakan Suami Punca Berat Badan Nora Danish Bertambah

Nora dan Nedim bahagia melayari bahtera rumah tangga yang dibina sejak tiga bulan lalu. Foto Instagram @noradanish

SELALUNYA lelaki kalau lepas berkahwin berat badan mereka pasti akan bertambah malah perut pun 'maju' ke depan.

Kata orang tua-tua tanda bahagia! Tapi berlainan pula dengan aktres Nora Danish yang baharu sahaja berkahwin dengan Nedim Nazri pada 30 Mac lalu.

Kata Nora berat badannya bertambah hampir tiga kilo sejak berkahwin kerana suaminya sering memasak sehingga membuatkan dia tidak mampu untuk menolak setiap hidangan disediakan.

"Dia adalah chef terbaik! Nedim memang gemar memasak dan sejak kami kahwin dia nampaknya lebih selesa berada di dapur.

"Pelbagai masakan dimasaknya sehingga berat badan saya naik hampir tiga kilogram dan ada ingat saya sedang hamil kerana wajah nampak tembam!

Nedim dan Nora pertama kali sambut Ramadan sebagai suami-isteri.

"Tetapi saya tidak merungut kerana ia rezeki tetapi saya sendiri kadang-kadang malas hendak bersenam dan selepas ini memang kena kerap ke gim," katanya.

Ceritanya lagi, Nedim memang mempunyai bakat luar biasa dalam masakan malah anak-anak serta rakan-rakan mereka sentiasa menanti-nantikan hidangan istimewa daripadanya.

"Sebelum berkahwin lagi Nedim memang handal bab-bab memasak ni dan bukan sahaja boleh masak hidangan Melayu tetapi juga barat.

"Pernah sekali dia masak ayam tandori yang dipelajari menerusi internet dan ia sangat sedap mengalahkan yang dijual di kedai.

"Sekarang saya dan anak-anak pun kalau makan di luar akan merungut kerana masakannya jauh lebih sedap," jelasnya.

Bagaimanapun kata Nora, kelebihan suaminya itu di dapur bukan bererti dia boleh mengambil ringan tentang soal tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Nedim rajin memasak.

Sebaliknya kata Nora, dia masih memasak untuk Nedim selain melakukan kerja-kerja hakiki lain sebagai seorang isteri dan ibu.

"Saya masih memasak untuk suami dan anak-anak malah lauk kegemarannya adalah sambal ayam tetapi apabila dia yang masak ia lebih sedap...haha," katanya.

Bercakap mengenai Ramadan pertama kembali bergelar isteri, Nora berkata, dia seronok dapat meluangkan masa bersama keluarga untuk berbuka puasa, solat berjemaah dan terawih bersama-sama suami.

Dalam perkembangan lain, Nora bakal muncul dengan filem The Secret Life of Pets versi bahasa Malaysia yang akan ditayangkan pada 25 Jun ini di saluran HBO.

Nora meminjamkan suaranya untuk watak Gidget dan ia turut menampilkan barisan selebriti lain seperti Hisyam Hamid, Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Fahrin Ahmad, Juliana Evans dan ramai lagi.

Nora Danish, HBO

Artikel Sebelum

Artikel Lain