suria

Redza Rosli Kemalangan Jatuh Motor

Kesakitan di paha kanan Redza masih dirasai walaupun selepas empat hari kejadian malang itu berlaku. -foto DARRAN TAN / The Star

PETALING JAYA: Nasib tidak menyebelahi pelakon Redza Rosli apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan di Kuala Selangor empat hari lalu.

Bagaimanapun menurut Redza, dia bersyukur apabila hanya mengalami kecederaan kecil di paha kanannya.

"Alhamdulillah tidak begitu teruk, namun kesakitan di paha kanan ini masih terasa walaupun selepas empat hari. Doktor beritahu kecederaan tak serius.

Redza akan menyambung semua pengambaran drama Ku Kirim Cinta pada Khamis. -foto Instagram @redzarosli

"Namun saya akan dapatkan pemeriksaan susulan termasuk lakukan pemeriksaan x-ray bagi mendapatkan kepastian mengenainya," Kata Redza kepada mStar Online.

Redza atau Ahmad Redza Rosli ditemui pada majlis ulang tahun pertama Tonton VIP di The Roof Sky, First Avenue di sini, Selasa.

Redza bersama pelakon Ayda Jebat dan penyanyi duo ThomasJack dilantik sebagai duta Tonton VIP.

Bercerita lanjut mengenai kemalangan itu, Redza berkata ia berlaku ketika dia berada di set pengambaran drama bersiri Ku Kirim Cinta yang menyaksikan dia bergandingan dengan Ayda Jebat.

"Saya terpaksa mengelak, jika tidak motosikal yang saya tunggang akan melanggar seorang pelakon lain.

"Selepas motorsikal itu terbalik, saya jatuh tergolek pada ketinggian lebih kurang lima kaki.

"Ketika cuba bangun selepas terjatuh, kedua-dua kaki terasa sangat sakit. Namun Alhamdulillah saya masih boleh berjalan walaupun terhincut-hincut," katanya.

Tambah Redza, dia akan menyambung pengambaran drama bersiri 28 episod itu pada Khamis ini.

Ku Kirim Cinta arahan Raja Alauddin bakal disiarkan menerusi slot Akasia TV3 pada pertengahan Mei depan.

Selain Redza dan Ayda ia turut dibintangi oleh Fahad Iman, Roy Azman, Zarina Zainuddin, Wilma Muhammad dan Shahrolnizam.

Redza Rosli

Artikel Berikut

Artikel Lain