suria

Ayda Jebat Enggan Bebankan Peminat Buat Undian

Ayda tidak mahu membuatkan peminat berasa tertekan kerana perlu mengundinya setiap kali namanya dicalonkan dalam mana-mana anugerah.

PETALING JAYA: Pelakon Ayda Jebat tidak pernah meletakkan harapan untuk memenangi sebarang anugerah pada acara yang memerlukan peminat membuat undian.

Ayda menjelaskan dia tidak mahu membebankan peminatnya dan membuatkan mereka berasa ia satu tanggungjawab dalam memastikan dia pulang dengan kemenangan.

"Setiap tahun pada mana-mana acara sekali pun saya tidak pernah menyasarkan untuk menang tambahan pula pada anugerah yang memerlukan undian peminat.

"Kalau letak harapan saya telah meletakkan beban kepada peminat dan mereka pula berasa bertanggungjawab untuk mengundi.

"Pada saya jika hendak undi silakan tetapi ia bukan satu kemestian dan kemenangan itu adalah bonus sebenarnya," katanya kepada mStar Online.

Ayda atau Nur Suhada Jebat, 25, berkata demikian apabila diminat mengulas mengenai tiga pencalonan yang diterimanya menerusi Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME2017).

Penyanyi lagu Pencuri Hati itu tercalon menerusi kategori Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP dan Pelakon TV MeleTOP.

Ayda Jebat dapat tiga pencalonan pada AME2017.

Dalam pada itu, Ayda menganggap ramalan sesetengah pihak kononnya dia akan memenangi semua kategori pada acara itu kerana pengaruhnya sebagai duta kepada penaja sebagai klise.

Sebaliknya kata Ayda, kekuatan peminat jelas dapat dilihat apabila dia juga pernah memenangi beberapa trofi pada majlis anugerah yang tidak melibatkan dirinya sebagai duta.

"Saya rasa kekuatan peminat itu orang sendiri boleh nampak dan hendak kata pengaruh itu memang tidak ada selain ia tanggapan yang klise.

"Acara lain pun saya pernah terima penghargaan walaupun tidak melibatkan penaja kerana jelas semua undian adalah daripada peminat," jelasnya.

Bercakap mengenai AME2017, Ayda berkata dia akan mengadakan persembahan pada malam itu nanti dengan lagu Nakal Nakal Nakal.

"Selain Nakal Nakal Nakal, Insya-Allah saya juga akan tampil dengan persembahan duet bersama Adi 6ixth Sense menerusi lagu tema filem Pinjamkan Hatiku," katanya.

AME2017 bakal berlangsung pada 23 April depan di Stadium Malawati, Shah Alam dekat sini.

Ia juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada pukul 9 malam.

Acara itu bakal dihoskan oleh Nabil Ahmad, Neelofa dan Johan (Raja Lawak).

Ayda Jebat, AME2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain