suria

Teman Lelaki Hasrat Nikah Shiha Hujung Tahun Ini

Shiha berhasrat untuk merakamkan single pop dangdut bagi menembusi pasaran Indonesia.

KUALA LUMPUR: Teman lelaki kepada penyanyi Shiha Zikir meluahkan hasrat untuk menikahi wanita itu pada hujung tahun ini.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Arul berkata, keputusan untuk memperisterikan Shiha dibuat setelah memikirkan usia percintaan mereka sudah memasuki tujuh tahun.

"InsyaAllah kalau tiada aral melintang, hujung tahun ini saya mahu tamatkan kisah percintaan ini bersama dia dengan ikatan sah sebagai suami isteri.

"Saya mengenali Shiha sebelum dia menyertai program Mentor lagi dan selama perhubungan ini, kami tiada apa-apa masalah kerana dia pandai membawa diri" katanya kepada mStar Online.

Shiha dan Arul ditemui pada majlis ramah mesra KL Carnival bersama media di sini.

KL Carnival dijangka akan beroperasi pada 24 Mac depan di Bukit Jalil dengan lebih 300 kontena dan khemah jualan yang bakal dijadikan bazar berkonsepkan kontena terbesar di Asia.

Sementara itu Shiha atau nama sebenarnya Shiha Zakir, 30, berkata Arul yang juga pengurus peribadinya disifatkan sebagai seorang yang tenang dan amat memahami kerjayanya sebagai seorang artis.

"Sejak bergerak sendiri tanpa label syarikat rakaman, saya selesa dan beri sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menguruskan kerjaya seni saya.

"Keluarga pun bersetuju dan berasa lebih selamat berbanding jika diuruskan oleh seseorang yang tidak dikenali.

Dalam pada itu Shiha berkata dia kini sibuk mempromosikan single bersama kumpulan DeMeises berjudul 'Jangan Bilang Siapa-Siapa' dan menjelaskan dia kini sedang merancang untuk menerbitkan sebuah lagu berentak Pop Dangdut.

"Setelah menyertai D'Academy Asia yang lalu, saya rasakan adalah perlu untuk menghasilkan sebuah lagu bergenre sebegitu sebagai tanda pengenalan untuk melakar nama di negara jiran.

"Kalau boleh saya tidak mahu orang melihat saya mengambil kesempatan atas platform D'Academy Asia untuk mencari pasaran di sana tetapi biarlah saya hadir dengan satu produk sebagai tanda pengenalan," katanya.

Bagaimanapun jelasnya dia masih mencari material sesuai untuk projek single Pop Dangdut itu dan berhasrat untuk mengeluarkannya pada Mac ini sebelum visanya tamat tempoh pada Jun depan.

Shiha Mentor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain