suria

Inspirasi Kisah Cinta Artis Dalam Novel 'Menangkah Cinta?'

Iman Imran (tengah) bersama rakan-rakan artis ketika pelancaran novel pertamanya Menangkah Cinta? FOTO: RICKY LAI

PETALING JAYA: Penulis lirik Iman Imran memberitahu dia memperoleh inspirasi daripada kisah-kisah cinta artis tanah air yang pernah mendapat perhatian dalam novel pertamanya berjudul Menangkah Cinta?

Iman Imran, 41, yang juga wartawan di sebuah organisasi media, berkata, dia menterjemahkan pengalaman hampir 20 tahun terlibat dalam kehidupan artis dalam industri hiburan tanah air bagi menghasilkan buku itu.

"Perjalanan cerita ini banyak mengisahkan tentang percintaan dan gosip artis yang pernah menjadi panas dan mendapat perhatian sepanjang saya bertugas sebagai wartawan hiburan.

"Saya memberi tumpuan kepada mana-mana artis, tetapi mengambil inspirasi dari beberapa kisah yang menarik dan diolah menjadi sebuah jalan cerita," ujarnya kepada mStar Online.

Iman Imran atau nama sebenarnya Rudy Imran Shamsudin ditemui pada majlis pelancaran novel pertamanya Menangkah Cinta?, di sini, Jumaat.

Menangkah Cinta dijual dengan harga RM29.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah penyanyi Dayang Nurfaizah, Nazri Nazrief, Sandra dan pelakon baharu Elvina.

Tambah Iman Imran, proses penulisan novel sebanyak 469 halaman ini hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja berikutan sudah mempunyai jalan cerita.

"Cara saya menghasilkan atau menulis berbeza dengan penulis novel lain, di mana saya sudah ada dalam kepala. Saya sudah apa yang ingin ditulis.

"Tapi saya ubah pengakhiran cerita mengikut kesesuaian. Pada mulanya berakhir dengan cerita sedih, namun selepas menerima pendapat penulis novel lain yang menasihatkan agar pengakhiran yang gembira lebih mendapat sambutan," ujarnya.

Sementara itu, Iman berkata, dia dan penerbit Mind Order Sdn Bhd sudah mempunyai perancangan untuk mengadaptasikan novel tersebut ke drama 16 episod.

Bagaimanapun, ia masih lagi diperingkat perbincangan dengan beberapa stesen televisyen.

"Kami ada perancangan untuk bawa novel ini menjadi drama episod dan sudah ada pelakon-pelakonnya. Cuma sekarang masih diperingkat perbincangan lagi," ujarnya.

Novel tersebut dijual secara dalam talian di www.mindorder.com.my dengan harga RM29.
Menangkah Cinta, Iman Imran

Artikel Berikut

Artikel Lain