suria

Munafik Filem Terbaik Nasional & Jagat Filem Terbaik Msia FFM28

Filem Munafik muncul sebagai pemenang kategori Filem Terbaik Nasional Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) yang berlangsung pada malam Sabtu. Foto FAIHAN GHANI & HAFIZ IDZLA

KUALA LUMPUR: Filem Munafik arahan Syamsul Yusof diangkat sebagai Filem Terbaik Nasional, Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) yang diadakan di Planery Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu.

Kemenangan itu sekaligus menewaskan saingan empat lagi karya yang turut bertanding dalam kategori sama iaitu Nota, Polis Evo, Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dan Jejak Warriors dalam merebut trofi berkenaan.

Pada acara sama, Munafik turut meraih kemenangan menerusi kategori Pengarah Filem Terbaik (Syamsul Yusof) dan Penyunting Terbaik.

Nabila Huda dan Pekin Ibrahim bersama trofi kemenangan masing-masing.

Manakala aktres Nabila Huda menepati ramalan apabila membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan mantapnya dalam naskah berkenaan.

Pada Malam Perasmian yang berlangsung pada Khamis lalu, Munafik turut merangkul anugerah Penataan Bunyi Terbaik.

Dalam pada itu, filem berbahasa Tamil, Jagat meraih trofi Filem Terbaik Malaysia dan menewaskan calon kegemaran iaitu The Kid From The Big Apple, Munafik dan Ola Bola yang mendapat 14 pencalonan keseluruhan pada FFM28 tahun ini.

Fauziah Ahmad Daud menang menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Pengarah filem berkenaan iaitu Shanjey Kumar Perumal turut membawa pulang trofi Pengarah Baharu Terbaik.

Sementara itu, Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit pula berjaya merangkul sebanyak tiga trofi pada malam berprestij itu termasuk menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh Pekin Ibrahim.

Calon lain yang turut bertanding dalam kategori berkenaan adalah Aaron Aziz, Aniu, Shahiezy Sam dan Zizan Razak.

Jagat diangkat sebagai Filem Terbaik Malaysia.

Selain itu, heroin filem berkenaan Felisha Crossley membawa pulang trofi Pelakon Baharu Wanita Terbaik dan filem arahan Pekin itu turut diumumkan sebagai pemenang kategori Cerita Asal Terbaik.

Kesemua pemenang pada malam tersebut menerima sebuah trofi yang disalut kepingan emas 916.

Dalam perkembangan sama, FFM28 turut menyampaikan trofi khas iaitu Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman kepada Deddy M Borhan.

Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad menggalas tanggungjawab sebagai hos FFM28.

Selain itu, Anugerah Khas Juri turut diberikan kepada tiga buah filem iaitu Ola Bola, Polis Evo dan The Kid From The Big Apple atas faktor kecemerlangan dalam mengangkat nilai-nilai seperti komersial, perpaduan, kekeluargaan dan transformasi nilai produksi dalam naskah diterbitkan.

Majlis berkenaan dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad dan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Syamsul bersama trofi kemenangannya.

Terdahulu 11 anugerah telah disampaikan pada Malam Perasmian FFM28 di Studio Sound Stage Finas Khamis lalu.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Man Bai, Aizat dan Tomok.

Berikut adalah senarai pemenang malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-28:

FILEM TERBAIK NASIONAL FFM28 - MUNAFIK

FILEM TERBAIK MALAYSIA FFM28 - JAGAT

LAKONLAYAR TERBAIK - NOTA 

PENGARAH TERBAIK FFM28 -SYAMSUL YUSOF / MUNAFIK 

PENGARAH BAHARU TERBAIK - SHANJHEY KUMAR PERUMAL / JAGAT 

PELAKON WANITA TERBAIK - NABILA HUDA / MUNAFIK

PELAKON BAHARU WANITA TERBAIK - FALISHA CROSLEY / MAT MOTO 

PELAKON LELAKI TERBAIK -PEKIN IBRAHIM / MAT MOTO – KAMI MAT MOTO BUKAN MAT REMPIT

PELAKON BAHARU LELAKI TERBAIK - ADAM SHAHZ / JUVANA 2 

PELAKON PEMBANTU WANITA TERBAIK - FAUZIAH DATO’ AHMAD DAUD / LANGIT CINTA

PELAKON PEMBANTU LELAKI TERBAIK -HUSHAIRI HUSAIN / POLIS EVO

PELAKON KANAK-KANAK TERBAIK-TAN QIN LIN / THE KID FROM THE BIG APPLE

CERITA ASAL TERBAIK- MAT MOTO  

SINEMATOGRAFI  TERBAIK - POLIS EVO

PENYUNTING TERBAIK - SYAMSUL YUSOF (MUNAFIK)

FILEM CEREKA ANIMASI TERBAIK - BOBOI BOY THE MOVIE

FILEM BOX OFFICE - POLIS EVO

ANUGERAH KHAS JURI - OLA BOLA, POLIS EVO & THE KID FROM THE BIG APPLE

KARYAWAN SEPANJANG ZAMAN - DEDDY M BORHAN
FFM28, Munafik

Artikel Lain