suria

Pertemuan Semula Buka Hati Saharul Ridzwan & Qaabila Untuk Kahwin



KUALA LUMPUR: Pelakon Saharul Ridzwan menjelaskan dia tidak pernah bercinta dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir yang bakal dikahwininya pada 16 September depan sebaliknya pertemuan semula telah membuka hati kedua-dua pihak.

Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, berkata, pertemuan semula itu pada Januari lalu membuatkan mereka mengambil keputusan berkahwin sebelum dia berjumpa keluarga wanita berkenaan sebulan kemudian.

"Sebenarnya saya sudah mengenali bakal isteri sejak empat tahun lalu namun kami membawa haluan masing-masing sebelum kembali bertemu pada Januari lalu.

"Apabila kami kembali bertemu masing-masing sudah matang dan saya percaya dia jodoh saya yang terbaik.

"Jujurnya kami bukan seperti pasangan kekasih yang lain malah sepakat untuk bercinta selepas berkahwin kerana pada tahap ini paling penting adalah tanggungjawab," katanya kepada mStar Online.

SILA KLIK: Saharul Ridzwan Nikah Qaabila Deena 16 September Depan

Saharul ditemui pada sidang media berhubung perkahwinannya di Bangsar di sini, Isnin.

Terdahulu, Saharul mengesahkan bakal melangsungkan perkahwinan dengan Qaabila, 28, pada 16 September depan seperti mana yang didedahkan oleh mStar Online pada 16 Julai lalu.

Saharul dan bakal isterinya iaitu Qaabila.

Kata Saharul, upacara akad nikah akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya pada pukul 9.30 pagi manakala majlis resepsi diadakan pada hari sama di Dewan Sri Siantan Putrajaya bermula 3 petang.

Pasangan itu juga akan mengadakan satu lagi resepsi khas buat peminat pada 18 September namun masih belum menetapkan lokasi majlis tersebut.

Dalam pada itu, ditanya tentang keistimewaan Qaabila di matanya, Saharul berkata, sikap bertanggungjawab membuatkan  dia yakin wanita berkenaan adalah yang terbaik untuknya.

Bagaimanapun Saharul enggan berkongsi lanjut mengenai perkenalannya dengan bakal isterinya itu dan hanya bersedia berbuat demikian pada hari perkahwinannya nanti.

"Insya-Allah pada hari kami selamat disatukan sebagai suami-isteri saya dan Qaabila akan berkongsi kisah kami.

"Tetapi sikapnya yang bertanggungjawab membuatkan saya terpaut hati dan yakin dia adalah jodoh saya.

"Ini kerana perkahwinan itu bukan semata-mata kerana cinta tetapi tanggungjawab dalam melayari alam rumah tangga," ujarnya.

Saharul memberitahu Qaabila adalah seorang ahli perniagaan dan pemilik butik Wrap yang menjual pakaian muslimah seperti dilaporkan.

Menjelaskan tindakannya berdiam diri apabila ditanya pihak media mengenai perkahwinan tersebut, Saharul berkata, dia bertindak demikian kerana mahu berlaku adil dalam memberikan butiran mengenai majlis tersebut kepada pihak wartawan.

Kata Saharul, tujuan sidang media diadakan juga bagi memastikan semua maklumat diberi sama rata dan tidak mahu bersikap memilih.

"Saya tiada niat untuk merahsiakan tetapi saya mahu semua rakan media yang banyak membantu karier saya mendapat maklumat sama rata,” katanya.

Saharul Ridzwan

Artikel Lain