suria

Reza Hasbi Imbas Main Meriam Buluh Di Kampung Talang

Reza Hasbi

PETALING JAYA: Pelakon Reza Hasbi berkata, salah satu kenangan manis dan sentiasa diingati setiap kali Hari Raya ialah pengalaman bermain meriam buluh bersama rakan-rakan di kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak.

Reza atau nama sebenarnya, Muhamad Ridzuan Hasbullah, 27, berkata, permainan itu sudah menjadi aktiviti wajib bagi penduduk kampungnya iaitu Kampung Talang pada malam raya sehingga takbir raya.

Reza pulang berhari raya di Kuala Kangsar, Perak.

"Main meriam buluh sudah seperti menjadi tradisi penduduk kampung terutamanya golongan belia, dulu pun saya ikut sama mereka buat persiapan dan kami main sehingga ke pagi Hari Raya Pertama.

"Memang sangat meriah kerana berdekatan Kampung Talang ada beberapa kampung lain dan kami akan berlawan menghasilkan bunyi meriam yang kuat seperti sedang berperang," ujarnya kepada mStar Online.

Reza berkata, setelah berhijrah dan bekerja di Kuala Lumpur dia tidak dapat menyertai aktiviti tersebut selain pada ketika ini permainan berkenaan adalah dilarang dan menjadi satu kesalahan kerana boleh membahayakan.

Bagaimanapun pada kebiasaan Hari Raya, dia akan melawat dan bertemu rakan-rakan lama yang turut pulang beraya di kampung.

Sementara itu, Reza berkata, persiapan raya kali ini dilakukan secara sederhana sahaja kerana semuanya disiapkan oleh isterinya.

Reza Hasbi

Artikel Lain