suria

Aliff Aziz Selamat Bertunang, Nikah Tahun Depan

Ibu Aliff, S Hafiza Basharahil (kanan) menyarungkan cincin pertunangan ke jari Dayang Nabellah Awang Astillah.

SHAH ALAM: Penyanyi Aliff Aziz, 24 mengikat tali pertunangan dengan Dayang Nabellah Awang Astillah, 21, dalam satu majlis yang diadakan di Cyristal Hall, Plaza Jelutong, di sini, malam Sabtu. 

Majlis dimulakan dengan persembahan tarian kebudayaan disusuli perbincangan wakil pihak lelaki iaitu Datuk Abdul Rashid Adam. 

Sementara itu, pihak Dayang Nabella atau lebih dikenali sebagai Bella diwakili oleh bapa saudara Rosli Ismail. 

Pada majlis tersebut pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa sebentuk cincin, telefon bimbit Iphone 5s, coklat, Al-Quran dan tepak sirih. 

Manakala pihak perempuan membalas tujuh dulang hantaran terdiri daripada sirih junjung, coklat, kek, minyak wangi, manisan, buah-buahan dan sepasang kasut.|

Bella dan Aliff mengikat tali pertunangan selama setahun.

Majlis kemudian disusuli dengan adat menyarung cincin yang disempurnakan oleh ibu Aliff iaitu S Hafiza Basharahil. 

Pada majlis tersebut Bella dan keluarga tampil dengan pakaian berwarna kuning, manakala keluarga belah Aliff Aziz mengayakan pakaian berwarna biru. 

Sementara itu, Aliff menzahirkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah, walaupun hanya bertunang tapi gemuruh saya hanya Allah yang tahu. Saya bersyukur semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan.

"Hari ini kami menghantar rombongan meminang Bella dan dalam perancangannya tempoh setahun. Namun jika ada rezeki lebih mungkin juga kami mempercepatkan majlis perkahwinan nanti," ujarnya.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dalam tempoh setahun dan melangsungkan majlis pernikahan pada tahun depan. 

Turut hadir pada majlis tersebut ahli keluarga kedua-dua belah pihak termasuk penyanyi Aisyah Aziz, Didi Astillah dan rakan artis Aizat Amdan, Indah Ruhaila, Azheal dan Nabilah. 

Artikel Lain