suria

Shima Enggan Fikir Soal Lelaki Selepas 4 Kali Cerai

Shima mahu hidup sendirian tanpa perlu memikirkan hendak bernikah lagi. Foto RAFIQ RAHMAN

PETALING JAYA: Penyanyi popular 1990-an, Shima mendedahkan dia sudah kembali solo sejak dua tahun lalu selepas bercerai dengan rakyat Kanada yang dikahwininya pada tahun 2003.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 45, berkata, ia merupakan perceraiannya buat kali keempat dan dia tidak mahu lagi memikirkan tentang pasangan hidup.

"Empat kali berkahwin, empat kali juga bercerai. Ingatkan yang terakhir sebelum ini dapat bertahan lama, tetapi jodoh kami tidak panjang.

"Kerana itu kami bercerai dua tahun lalu dan sekarang saya kembali solo. Cukuplah dengan alam berumahtangga. Bukannya serik, tetapi saya rasa hidup sendirian seperti sekarang lebih membahagiakan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Shima, bagaimanapun dia tidak akan menolak sekiranya ditakdirkan bertemu dengan jodoh lain kerana ia adalah ketentuan Ilahi.

Selain dengan rakyat Kanada itu, Shima pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain keyboard kumpulan The Boys iaitu Satiman pada tahun 1990 dan bercerai pada tahun 1994.

Dia  juga pernah berkahwin dengan seorang guru bernama Khairun Lamb pada tahun 1996, namun mereka bercerai pada 1998. Bagaimanapun Shima enggan berkongsi identiti individu ketiga yang dikahwininya.

Shima

Sementara itu, Shima juga tidak pernah berasa sunyi tanpa teman kerana aktiviti hariannya sentiasa terisi dengan pelbagai kerja-kerja nyanyian selain meluangkan masa bersama lima ekor kucing kesayangan.

"Dulu masa awal-awal bercerai, memanglah rasa sunyi, tetapi lama-lama rasa itu hilang lebih-lebih lagi apabila hari-hari kita diisi dengan pelbagai aktiviti.

"Sekarang ini saya rancang mahu kembali aktif dalam industri seni muzik tempatan. Lagipun saya dah lama tak keluar album. InsyaAllah pada tahun hadapan saya akan muncul dengan single lagu baharu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shima kini terlibat dengan pertandingan nyanyian Gegar Vaganza, yang menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah popular sebelum ini.

"Alhamdulillah, saya ditawarkan menyertai pertandingan ini selepas setahun menamatkan kontrak menyanyi di sebuah hotel.

"Bagi saya, ini satu cabaran baik untuk saya memantapkan diri semula sebelum muncul dengan single lagu baru," tuturnya.

Antara penyanyi lain yang turut terlibat termasuklah Mamat (Exist), Rahmat (Mega), Hasnol, Fazli Zainal, Sam (Innuendo), Ayai (Ilusi), Haleeda, Sharifah Zarina, Ifa Raziah dan Adilla.

Gegar Vaganza bersiaran bermula 16 November 2014 setiap Ahad, pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135).

Shima sebelum ini pernah popular menerusi lagu Di Sebalik Sejuta Wajah, Setelah Aku Kau Miliki  dan Teringin.

Shima

Artikel Lain