suria

"Gosip Bercinta Dengan Remy Ishak Tidak Logik" - Nad Zainal

Nad menyangkal dakwaan kononnya dia sedang bercinta dengan aktor Remy Ishak.

PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal menyifatkan gosip terbaharu mengenainya yang dikatakan sedang menjalinkan hubungan dengan aktor Remy Ishak sebagai tidak logik.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 24, berkata, dia tidak mengenali aktor tersebut secara peribadi dan hanya bertemu ketika berada dilokasi penggambaran drama lakonan mereka iaitu Jalan Mati dan AntiDOT.

"Gosip berkenaan tidak logik kerana hubungan kami bukannya rapat dan sekadar teman sesama artis sahaja.

"Baik saya atau pun dia, kami tidak pernah berhubung selepas selesai penggambaran melibatkan kami berdua dan hubungan yang wujud sekadar di set penggambaran," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Nad yang terkejut dengan gosip tersebut mengulas laporan sebuah ruangan gosip akhbar mingguan pada Ahad yang mengatakan dia sedang menyulam cinta dengan Remy.

Remy Ishak.

Malah gosip itu turut menyebut cerita mengenai hubungan mereka didedahkan sendiri oleh salah seorang bekas kekasihnya kepada seorang kenalan rapatnya.

Dalam pada itu, Nad menegaskan dia tidak mengetahui siapakan 'bekas kekasih' yang dimaksudkan menyebarkan cerita berkenaan kerana gosip berkenaan bukan datang daripadanya.

Bagaimanapun kata Nad, jika benar gosip itu disampaikan oleh salah seorang bekas kekasihnya dia meminta lelaki berkenaan supaya meneruskan kehidupan dan tidak menganggunya dengan menyebarkan cerita buruk seperti itu.

"Saya tidak tahu 'bekas kekasih' mana dimaksudkan atau siapa kawan rapatnya yang bercerita kerana gosip berkenaan bukan datang dari saya tetapi orang lain yang mengata.

"Namun jika benar ia datang daripada 'bekas kekasih' tersebut saya minta teruskanlah hidup daripada melakukan perkara tidak berfaedah," ujarnya.

Sebelum ini, Nad bercinta dengan Hefny Sahad yang dikatakan menjadi punca keretakan hubungan cinta Nad dengan aktor Azwan Kombos, 29, apabila mereka dikatakan menjalin hubungan cinta selepas terbabit dalam telefilem Mengintai Syurga Mama diterbitkan oleh Zeel Production.

Dalam perkembangan lain, Nad berkata, dia kini sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri yang diangkat daripada sebuah novel popular berjudul Street Vendetta untuk siaran RTM.

Nad Zainal, Remy Ishak.

Artikel Lain