suria

Sikap Tolak Ansur Punca Instagram Zizan Razak Cecah 1 Juta Pengikut

Zizan Razak bersikap terbuka dengan pengikut-pengikutnya di Instagram.

PETALING JAYA: Pelakon Zizan Razak merasakan sikap tolak ansurnya dalam memberi kebenaran kepada orang ramai mengiklankan perniagaan masing-masing di laman sosial Instagram miliknya menjadi penyumbang peningkatan mendadak pengikut laman sosialnya itu.

Zizan berkata, keterbukaan itu memungkinkan orang ramai senang dengan sikapnya dan menjadikan laman sosial itu sebagai rujukan bagi mengiklankan produk sehingga ia mencecah lebih satu juta pengikut.

"Sebenarnya saya terkejut apabila melihat pengikut saya sudah sampai ke tahap lebih sejuta di Instagram.

"Nak kata gambar menarik, tidak juga, kerana saya hanya memuat naik apa-apa saja gambar yang dirasa mahu dikongsi dengan peminat. Tidak kira sama ada yang berbentuk peribadi, ketika bekerja atau aktiviti-aktiviti lain.

"Mungkin kerana saya memberi kebebasan kepada peniaga-peniaga online untuk mempromosikan barangan mereka di Instagram saya," katanya kepada mStar Online.


Instagram milik Zizan Razak.

Sehingga laporan ini ditulis, Zizan sudah pun memiliki sebanyak 1,031,198 pengikut selain 1,100 gambar yang dimuatnaik.

Tambah Zizan, dia juga berpendapat peniaga-peniaga yang mempromosikan barangan yang dijual di Instagram tidak seharusnya dimarahi kerana mereka sekadar ingin mencari pelanggan daripada pengikut-pengikut selebriti.

"Bagi saya, peniaga-peniaga 'visit my IG" ini sekadar ingin mencari peluang menerusi Instagram artis yang kebanyakannya mempunyai pengikut yang ramai.

"Inilah cara mereka untuk mencari pelanggan dan kita pun tidak patut menyekat rezeki mereka. Cuma kalau komen itu, janganlah bagi membuat promosi menggunakan ayat berjela-jela sehingga mengganggu orang lain untuk membaca atau meletakkan komen," ujarnya.

Dalam pada itu, Zizan turut mengakui tidak pernah memarahi pengikut-pengikutnya meskipun ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab memberi komen-komen buruk.

Kata Zizan, sebagai seorang selebriti, komen-komen sebegitu sudah menjadi lumrah untuk dihadapi apatah lagi di medium media sosial.

Selain Zizan, antara selebriti lain yang berjaya mencecah lebih sejuta pengikut Instagram termasuklah kekasih Zizan sendiri iaitu, Emma Maembong (1.12 juta), Nora Danish (1.34 juta)  dan Lisa Surihani (1.01 juta).


Zizan Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain