suria

Lisa Surihani Iktiraf Peranan Wartawan Hiburan

Lisa Surihani turut bimbang pengaruh laman sosial yang boleh melahirkan individu berfikiran negatif jika ia disalahgunakan.

PETALING JAYA:  Pelakon Lisa Surihani memperakui kepentingan media dan mengiktiraf peranan wartawan hiburan di negara ini walaupun terdapat pelbagai persepsi buruk terhadap golongan itu.

Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 28, berkata, dalam apa juga perkara, wartawan tetap diperlukan khususnya apabila bercakap mengenai kepentingan hubungan antara kedua-dua pihak.

“Saya mengakui tetatang kepentingan media arus perdana dan menghormati bagaimana mereka menjalankan tugas sebagai wartawan,” katanya.

Lisa berkata demikian dalam rancangan Apa Kata Malaysia, Hlive pada  Ahad bagi membincangkan topik hubungan artis dan wartawan hiburan.

Rancangan terbitan Hazeman Huzir itu dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi dan disiarkan menerusi saluran Astro Ria dan Maya HD, pukul 8.30 malam.

Turut terlibat sebagai ahli panel ialah Timbalan Presiden, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Niezam Abdullah.

mStar Default Image
Dari kiri; Aznil Nawawi, Lisa Surihani dan Niezam Abdullah dalam rancangan Apa Kata Malaysia, Hlive siaran Astro Ria dan Maya HD pada Ahad. Mereka membincangkan topik hubungan artis dan wartawan hiburan.

Dalam pada itu ketika ditanya Aznil mengenai status-status peminat di laman sisoal artis yang mengutuk kedua-dua pihak Lisa berkata, ia mungkin disebabkan golongan itu merasakan setiap luahan  akan sampai kepada pihak-pihak berkenaan.

Katanya, lebih menambahkan lagi masalah apabila komen-komen negatif itu mendapat sokongan daripada pengikut-pengikut  lain dalam laman sosial tersebut.

“Peminat mungkin ingat apa yang mereka luahkan itu akan sampai (kepada pihak berkenaan) dan orang pula akan sokong sehingga akan adanya perdebatan. Apa yang penting kita kena fikir akan kesannya dan adakah ini yang kita hendak galakkan,” tambahnya yang mempunyai 2.3 juta pengikut Twitter dan 950,000 di Instagram.

Sementara itu Niezam yang juga Editor Hiburan mStar Online berkata, walaupun  peminat boleh mengakses artis masing-masing kerana kemunculan media sosial ketika ini,  namun kredibiliti dan kewartawanan hiburan itu lebih dipercayai.

Katanya yang mewakili lebih 100 wartawan dan editor hiburan di negara ini, biarpun orang ramai berlumba-lumba untuk mengemas kini pelbagai status di laman sosial masing-masing namun berita  berkenaan belum dapat dipastikan kesahihannya.

“Jika sesuatu sumber itu datangnya daripada wartawan, maka ia boleh dianggap sahih atas kapasiti profesionalism kerjaya mereka kerana wartawan perlu menjunjung etika yang diamalkan dalam melaporkan sesuatu  fakta dan ia hendaklah benar,” katanya.

Dalam perkembangan sama ketika ditanya Aznil adakah wartawan hiburan terkesan dengan kutukan orang ramai Niezam menjelaskan, seseorang yang hendak menjadi wartawan sudah “dibekalkan” dengan prinsip agar bersedia terhadap hinaan, kutukan dan pujian.

Katanya, hinaan-hinaan orang tidak sedikit pun memberi apa-apa kesan melainkan jika ia ditujukan oleh peminat kepada artis kerana hal sedemikian boleh menjejaskan kerjaya dan reputasi seni mereka.
Lisa Surihani, WHAM, Aznil Nawawi

Artikel Lain