suria

Warner Music Terbit Album 15 Senandung Aidilfitri

15 Senandung Aidilfitri.

KUALA LUMPUR: Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Warner Music Malaysia mengambil inisiatif dengan menerbitkan album khas berjudul 15 Senandung Aidilfitri.

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy berkata, sebanyak 15 buah lagu dimuatkan termasuklah dua buah lagu baharu iaitu Salam Aidilfitri nyanyian Soo Wincci dan Syawal Tanpamu oleh NtahSape2Ntah.

"Setiap tahun, pihak kami mengambil inisiatf menerbitkan album kompilasi yang menampilkan lagu-lagu Raya terbaik buat para penggemar muzik tempatan.

"Untuk tahun ini, lagu-lagu yang dibawakan dalam album kebanyakannya dibarisi barisan penyanyi-penyanyi muda," katanya.

Darren ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran album 15 Senandung Aidilfitri di Hotel Hilton di sini pada Jumaat.


Dalam pada itu tambah Darren, album tersebut turut menampilkan lagu-lagu terbaik sepanjang zaman nyanyian Datuk Jamal Abdillah iaitu Salam Aidilfitri dan Memori Hari Raya, Feminin (Kurniaan Di Hari Raya) serta Ajai (Rindu Di Aidilfitri).

"Saya percaya, album kompilasi pasti akan menarik ramai peminat kerana setiap lagu akan membawa nostalgia tersendiri bagi setiap orang yang mendengarnya," ujar Darren.

Antara lagu-lagu lain yang turut dimuatkan dalam album tersebut ialah Hadirkanku Di Ingatan nyanyian Hafiz, Tak Pisah Kenangan (Awie), Pulang (Maya Karin), Warkah (Hafiz, Akim, Datuk Aznil Nawawi dan Aril), Bayangan Ilham (Akim, Nera dan Ray), Bersama-Sama (Erul dan Ema), Hari Yang Kunanti (Hazama, Adira dan Dina), Eratkan Jalinan (Aril, Fina, Krill dan Dina) serta Ramadan Dan Syawal nyanyian Adibah Noor.

Bagi peminat lagu-lagu Hari Raya, 15 Senandung Aidilfitri boleh didapati di pasaran dalam bentuk cakera padat dengan harga RM23.90.

Artikel Lain