suria

'Projek Kahwin' Bukti Istana Budaya Beri Peluang Kepada Karyawan Muda

Antara pelakon yang menjayakan teater 'Projek Kahwin'

SHAH ALAM: Pihak kerajaan sentiasa terbuka dalam memberi peluang kepada karyawan muda untuk tampil dengan idea terbaharu dan segar untuk dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, golongan baharu industri teater perlu diberi peluang agar bidang berkenaan dapat berkembang selain menambahkan pengikut baharu.

"Saya gelarkan golongan ini sebagai Gen-Y dan jika mereka tidak diberi peluang sampai bila pun mereka tidak akan mendapat tempat dalam industri.

"Banyak sebenarnya karyawan muda yang bersemangat untuk merancakkan lagi industri teater dan tidak salah jika peluang itu diberikan jika mereka tampil dengan idea bernas dan sesuai dengan Istana Budaya," katanya kepada mStar Online.

Mohamed Johari ditemui ketika majlis pelancaran teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 6 hingga 14 Jun depan.

Dalam pada itu, Mohamed Johari berkata, pemilihan teater terbitan Mask Team itu bukti Istana Budaya sentiasa menyokong karyawan muda ditambah pihak produksi tampil dengan sebuah naskhah hebat untuk dipentaskan di Panggung Sari.

Malah kata Mohamed Johari, kejayaan teater Maduku Kalut pada tahun lalu menambahkan keyakinan pihaknya untuk terus memberi sokongan kepada usaha sekumpulan anak muda itu.

"Sambutan Maduku Kalut cukup luar biasa dan ia berjaya membawa ramai pengikut teater baharu ke Istana Budaya dan kami yakin dengan jalan cerita menarik dan barisan pelakonnya, Projek Kahwin mampu mengulang sejarah seperti tahun lalu," ujarnya.

Projek Kahwin bakal menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Sementara itu, pengarah teater berkenaan, Muhammad Azri Ali berkata, mereka bakal memaparkan isu perkahwinan yang terdapat di Malaysia.

Jelas Azri, bagi menampilkan kelainan pihaknya mengolah jalan cerita supaya lebih menarik dengan memasukkan elemen dokumentari dan nilai ilmu selaras dengan isu yang ingin dikupaskan.

"Isu perkahwinan merupakan isu yang menarik untuk dibincangkan kerana terdapat banyak isu yang boleh dikupas dan naskhah ini turut diadun dengan gaya dokumentari yang jarang dipersembahkan di Malaysia," katanya.

Tiket untuk menyaksikan pementasan teater itu dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM185 dan RM225 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi AirAsiaRedTix.com atau di kaunter Box Office Istana Budaya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Amirul di ta

projek kahwin, istana budaya

Artikel Lain