suria

Mafarikha Nekad Kurus Demi Kerjaya Nyanyian

Mafarikha nekad menurunkan berat badannya bagi mengekalkan kariernya sebagai seorang penyanyi.
PETALING JAYA: Penyanyi yang dikenali menerusi program Vokal Bukan Sekadar Rupa iaitu Mafarikha nekad menurunkan berat badannya bagi mengekalkan kariernya sebagai seorang penyanyi.

Mafarikha atau nama sebenarnya Mafarikha Akhir, berkata, dia berjaya menurunkan beratnya sebanyak 22 kilogram sejak mengamalkan diet dan senaman selepas pertandingan itu berakhir pada 2012.

"Semasa menyertai pertandingan itu, berat badan saya 98 kilogram dan kini saya berjaya mengurangkan sebanyak 22 kilogram menerusi senaman dan diet secara konsisten.

"Kini berat badan saya hanya 76 kilogram. Alhamdulillah ianya berjaya dan saya masih lagi berusaha sehingga mendapat berat badan yang ideal," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mafarikha berkata, dia nekad menurunkan berat badannya bukan sahaja kerana ingin tampil menarik tetapi menyedari kepentingan kesihatan.

"Kita tahu dalam industri hiburan tempatan, penampilan diri perlu dijaga dan kerana itu saya bersungguh-sungguh mahu menurunkan berat badan.

"Pada masa sama saya mahu menjadi inspirasi kepada wanita-wanita yang mempunyai masalah berat badan sama seperti saya," ujarnya.

Sementara itu, Mafarikha berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu mempunyai ramai pengikut di Singapura.

Mafarikha berkata, namanya mula menjadi sebutan selepas lagu single pertamanya berjudul Derhaka mendapat sambutan daripada pendengar radio negara tersebut.

"Saya tidak sangka lagu Derhaka mendapat sambutan hangat di Singapura sedangkan di negara sendiri lagu tersebut tidak mendapat perhatian.

"Derhaka tersenarai dalam carta teratas di radio Singapura iaitu Ria FM, Alhamdulillah, mungkin rezeki saya lebih di sana(Singapura)," katanya lagi.

Bagaimanapun tambah Mafarikha, dia tetap tidak berputus asa untuk mempromosikan diri menerusi lagu-lagu terbaharu ciptaannya di Malaysia.

Bernaung dibawah syarikat rakaman Alibi Music, Mafarikha memberitahu akan muncul dengan single terbaharu dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun dia ingin merahsiakan terlebih dahulu judul lagu tersebut bagi memberi kejutan kepada peminat-peminatnya.


Artikel Lain