suria

SOROTAN 2013: Mati Itu Janji, Hilang Sukar Diganti

PETALING JAYA: Ketika dunia hiburan terus berkembang dengan lambakan golongan artis, mereka yang terlebih dahulu mencipta nama tetap terus dikenang sehingga ke akhir hayat.

Benar kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa.

Dunia hiburan sepanjang tahun tidak terlepas daripada kisah-kisa artis yang pergi meninggalkan kita.

Malah kehilangan mereka benar-benar memberi kesan sehingga menusuk ke sanubari. Tetapi apakan daya, ajal maut dan jodoh pertemuan itu adalah ketentuan Tuhan.

Semoga mereka mendapat rahmat daripada Yang Maha Esa dan terus aman di sana. Hanya karya-karya sahaja ditinggalkan untuk dikenang oleh generasi hari ini. Al-Fatihah.

Datuk Yahya Sulong (6 Februari 2013)

Pelakon veteran dan pelawak, Datuk Yahya Sulong, 84, meninggal dunia pukul 6.45 petang Rabu pada 6 Februari 2013 di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua dan menghidap komplikasi pelbagai penyakit termasuk asma.

Semasa hayatnya, Yahya dan isteri Datin Alisah Ali tidak mempunyai pendapatan tetap dan mengharapkan bantuan daripada Baitulmal dan wang pencen salah seorang isteri Yahya yang berjumlah RM 800 sebulan.

Dua bulan selepas pemergian Yahya, isterinya Alisah turut meninggal dunia iaitu pada 12 April 2013 akibat penyakit kanser paru-paru.

Antara filem lakonan Yahya pada era 80-an sehingga kini termasuk Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du, Toyol, Prebet Lapok dan Senario The Movie.

Yahya pernah berkahwin sebanyak empat kali dan mempunyai 11 orang anak, enam cucu dan dua cicit.

Selain terlibat dalam dunia seni, Yahya pernah bertugas dalam pasukan polis pada tahun 1948 bagi menentang komunis.

Kuswadinata (16 Februari 2013)

Pelakon veteran Kuswadinata meninggal dunia pukul 5.07 petang Sabtu pada 16 Februari 2013 di Hospital Ampang akibat penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar yang dihidapinya sejak empat tahun lalu.

Kuswadinata atau nama sebenar Kuswadi Bujang, 75, menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Kamariah Mohd Said, 58, dan seluruh ahli keluarga.

Hasil perkahwinan dengan Kamariah selama 30 tahun, Allahyarham dikurniakan empat cahaya mata.

Allahyarham yang memulakan kerjaya lakonan di Malay Film Production, Jalan Ampas, Singapura pada 1957 telah membintangi lebih 25 filem sepanjang hayatnya.

Beliau yang terkenal sebagai pelakon versatil pernah menerima pengiktirafan Anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007.

Datin Azizah Mohamad (27 April 2013)

Penyanyi kumpulan Orkes Nirwana, Datin Azizah Mohamad, 66, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 11.26 malam, Jumaat pada 27 April 2013.

Allahyarham meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim tahap akhir yang dihidapinya sejak setahun lalu selain beberapa penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis.

Beliau meninggal dunia di sisi suaminya, penyanyi irama pop yeh yeh, Datuk A. Rahman Hassan dan anaknya iaitu pelakon dan pengarah Khir Rahman.

Allahyarham yang aktif menyanyi sekitar tahun 60-an dan 70-an pernah popular dengan lagu seperti Syurga Idaman, Pergilah Kandaku dan Dikaulah Harapanku.

S.Shamsuddin (4 Jun 2013)

Pelakon komedi dari Singapura seniman S. Shamsuddin meninggal dunia pukul 10.30 pagi Selasa pada 4 Jun 2013 di kediamannya di Bukit Batok Avenue, Jurong, Singapura.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas bersarapan pagi bersama isterinya Putih Ismoon.

Pelakon komedi era P.Ramlee ini pernah membintangi lebih 25 buah filem. Antaranya terkenal menerusi filem Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Seniman Bujang Lapok dan Penyamun Tarbus.

Latifah Omar meninggal dunia (9 Jun 2013)

Seniwati Latifah Omar meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada pukul 6.19 petang pada 9 Jun 2013 akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk usus.

Sebelum meninggal, Allahyarham terlebih dahulu membeli kain kafan serta menyediakan sejumlah wang sebagai persediaan untuk urusan pengebumiannya.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak termasuk seorang anak angkat hasil daripada tiga perkahwinan dan mempunyai sembilan orang cucu.

Semasa hayatnya, Allahyarham sering digandingkan dengan pelakon Nordin Ahmad membintangi 23 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Jebat, Jalak Lenteng dan Laila Majnun.

Allahyarham terkenal dengan tahi lalatnya di pipi.

Umie Kalthum (24 Julai 2013)

Seniwati veteran iaitu Datin Umi Kalthum, 81, meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah salah seorang anaknya di Ukay Prima, Taman Melawati pada 24 Julai 2013.

Kejadian itu disedari oleh salah seorang cucu Allahyarham yang hendak mengejutkannya untuk bangun sahur kira-kira pukul 4 pagi namun beliau sudah tidak bergerak.

Allahyarham sempat meninggalkan sekeping nota yang mempunyai lima syarat jika dia meninggal dunia termasuklah menjadikan kain ihramnya sebagai kain kapan.

Semasa hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.

Hasil dua perkahwinan iaitu bersama Jaafar untuk perkahwinan pertama dan Datuk S Roomai Noor bagi perkahwinan kedua, beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu dan seorang cicit.

Rosnah Mohd Noor (4 Ogos 2013)

Pelakon popular tahun 1980-an, Rosnah Mohd Noor meninggal dunia kira-kira pukul 2.55 petang Ahad pada 4 Ogos 2013 akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payu dara di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum itu, pada 27 Februari 2013 Rosnah dimasukkan ke HKL apabila tulang pada bahagian paha kirinya patah kesan komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara yang dihadapinya.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon beberapa buah filem antaranya Hantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984), Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982) dan Ribut Di Hujung Senja (1982).

Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan, beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, 24, Wan Shamira Puteri Octavia, 22, dan Wan Shahera Puteri Apreena, 20.

Beliau juga sudah berpisah dengan seorang usahawan iaitu perkahwinan keduanya kira-kira dua tahun lalu.

Pelakon Maimon Mutalib (7 September 2013)

Pelakon veteran Maimon Mutalib meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu pada 18 September 2013 di kediamannya di Seksyen 17, Shah Alam akibat penyakit kanser payu dara tahap keempat yang dialaminya sejak 2012.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika beliau tiba di rumah selepas dibenarkan keluar daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Maimon atau nama sebenarnya Maimon Abdul Mutalib merupakan ibu tunggal kepada lima cahaya mata iaitu Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.

Antara filem-filem popular lakonannya ialah Qabil Khushry Qabil Igam, Chermin, CUCI, Pensil, Appalam, Semerah Cinta Stilleto, Otai, Sumpahan Kum Kum, Chantek, dan Budak Pailang.

Allahyarham juga cukup popular dengan penampilan watak yang pelbagai menerusi ratusan drama di televisyen.

Noreen Noor (22 Oktober 2013)

Pelakon dan penyanyi era 80-an, Noreen Noor, 54, meninggal dunia pada pukul 5.50 pagi Selasa pada 22 Oktober 2013 di Hospital Ampang Puteri, Selangor.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.

Noreen pernah popular menerusi lagu Siang Terbayang Malam Merindu.

Selain menyanyi, beliau juga popular di layar perak. Filem pertama lakonannya, Talak pada tahun 1980.

Antara filem lain yang pernah dibintanginya adalah Hantu Siang, Wira Angkasa dan Pelumba Malam.

Allahyarham meninggalkan dua orang cahaya mata.

Ahmad Busu (10 November 2013)

Pelakon dan pelawak Ahmad Busu, 60, yang popular pada tahun 80-an meninggal dunia akibat penyakit strok selepas maghrib pada Ahad, 10 November 2013 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.

Sebelum meninggal, Allahyarham sempat menunaikan hasratnya untuk bertemu sanak-saudara dan rakan-rakan rapatnya di Taiping, Perak.

Allahyarham dikenali dengan watak Mat Deris dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan memulakan kerjaya seni menerusi pementasan teater pada 1978.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Seri Mohamad, 54, dan empat orang anak iaitu Nur Hamizah, 24, Mohd Afiq, 23, Muhammad Luqman, 16, dan Nur Hanis yang berusia 5 tahun.

Azean Irdawaty (17 Disember 2013)

Primadona filem Melayu, Azean Irdawaty, 63, tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya, Selangor, kira-kira pukul 8.30 malam Selasa pada 17 Disember 2013 di sisi suaminya, Khairil Anwar dan juga anak-anak.

Pelakon itu yang sering keluar masuk hospital sebelum ini menghidap penyakit kanser payudara sehingga ia menjadi kritikal apabila ia merebak kepada barah tumor.

Azean yang pernah popular dengan lagu Bawalah Daku Bersamamu pada tahun 1980-an pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia pertama (FFM1) menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada FFM3.

Sepanjang penglibatannya dalam seni, beliau banyak berlakon filem termasuklah Mama Oh Mama, Perjanjian Syaitan, Perempuan, Bintang Malam, Sutera Putih, Baginda, Layar Lara, Mami Jarum Kembali dan Waris Jari Hantu serta berpuluh-puluh drama televisyen tempatan.

Allahyarham meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain