suria

Artis 70-an & 80-an Dalam Bintang Nostalgia 2013

Enam peserta akhir Bintang Nostalgia 2013 yang terpilih untuk berentap pada 16 Disember ini.
Enam peserta akhir Bintang Nostalgia 2013 yang terpilih untuk berentap pada 16 Disember ini.
Enam peserta akhir Bintang Nostalgia 2013 yang terpilih untuk berentap pada 16 Disember ini.

KUALA LUMPUR: Artis terkenal era 70-an dan 80-an akan memeriahkan pertandingan akhir Bintang Nostalgia 2013 apabila mereka digandingkan dengan finalis pertandingan itu yang bakal berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 16 Disember ini.

Pengarah Radio RTM, Dr Nawiyah Rita Che Lah berkata, enam artis iaitu Azlina Aziz, Hail Amir, Siti Fairuz, Ibnor Riza, Nassier Wahab dan Musli Ramlee telah bersetuju untuk digandingkan dengan peserta berkenaan.

"Kesemua peserta akan diberi dua tugasan dan pada tugasan kedua mereka akan berduet dengan artis-artis yang kami pilih sebagai kelainan pada pertandingan ini.

"Kami akan menentukan siapakah artis yang bakal berpasangan dengan peserta mengikut kesesuaian vokal masing-masing," katanya kepada mStar Online.

Nawiyah ditemui pada majlis memperkenalkan enam peserta akhir pertandingan itu di Angkasapuri di sini, Selasa.

Enam peserta yang berjaya ke peringkat akhir adalah Asiah Supiah, Jamiah Lambed, Alias Ariffin, Shamsiah Mohd Said, Rizal Ahmad dan bekas pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF-6) iaitu Hairina Abd Halim (Mama Rina).

Bintang Nostalgia 2013 akan disiarkan secara langsung di TV1 pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Nawiyah berkata, sambutan terhadap pertandingan itu amat menggalakkan apabila hampir 1,000 peserta tampil untuk uji bakat yang dianjurkan oleh stesen radio Klasik FM.

Bagaimanapun, hanya 18 peserta terpilih untuk bertanding pada peringkat separuh akhir sebelum memilih enam terbaik untuk ke peringkat akhir.

"Populariti Klasik FM telah memberi kesan kepada bilangan peserta yang hadir dan kami menganggap ia satu kejayaan besar buat program ini," katanya.

Menjelaskan tentang pemilihan peserta akhir, Nawiyah menjelaskan kualiti vokal para peserta adalah kriteria utama yang dilihat barisan juri selain mempunyai karisma ketika di atas pentas.

Malah katanya, para peserta tidak dibenarkan untuk memilih lagu untuk dinyanyikan sebaliknya ia dibuat oleh panel profesional bagi memberi cabaran kepada kemantapan vokal peserta.

Bintang Nostalgia telah diperkenalkan oleh Klasik FM pada tahun 2008 dan ia terbuka kepada peserta berusia 35 tahun dan ke atas.

Juara pertandingan itu akan membawa pulang hadiah wang tunai RM13,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing diberikan RM9,000 dan RM7,000.

Manakala tempat sagu hati akan menerima wang tunai bernilai RM3,000.

Artikel Lain