Darren (AF 2013) Tidak Kisah Dipanggil Aneh - Hiburan | mStar

Darren (AF 2013) Tidak Kisah Dipanggil Aneh

Darren
Darren

PETALING JAYA: Peserta Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) yang tersingkir pada minggu kedua Sabtu lalu, Darren, tidak kisah sekiranya dilabel seorang yang pelik dalam membuat sesebuah persembahan nyanyian.

Darren atau nama sebenarnya Chin Teik Meng, 21, berkata, dia percaya, gaya aneh yang ditampilkan itu dapat membuatkan para penonton mengingati persembahannya, walaupun tersingkir awal.

"Sebenarnya saya tidaklah aneh seperti yang disangka. Kebetulan persembahan yang saya tampilkan di AF 2013 sebelum ini memerlukan gaya mengikut rentak lagu membuatkan diri ini kelihatan aneh.

"Tetapi saya tidak kisah dengan panggilan tersebut kerana persembahan itu buatkan saya diingati ramai," katanya kepada mStar Online.

Tambah Darren, kegagalan meneruskan pertandingan program realiti itu juga tidak pernah melunturkan semangatnya untuk meneruskan cita-cita sebagai penyanyi berjaya.

Walaupun berada di dalam AF 2013 dalam masa yang singkat, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia telah banyak mempelajari selok belok dunia muzik tempatan dan ia sekaligus memberikan laluan yang mudah untuk dia mengejar impiannya.

"Saya masuk AF 2013 dengan satu tujuan iaitu ingin menjadi seorang penyanyi yang serba boleh.

"Dan memandangkan saya gagal di peringkat awal, saya tetap akan meneruskan perjuangan seperti biasa. Ini baharu saja langkah pertama. Banyak lagi perkara yang perlu saya buat sebelum benar-benar diterima ramai," ujarnya.

Ditanya apakah perancangannya selepas ini, Darren yang sebelum ini bekerja di sebuah restoran di Pulau Pinang berkata, dia masih lagi membuat susunan perancangan hala tuju kariernya agar matlamatnya tidak tersasar.

Artikel Sebelum

Anuar Zain Pernah Boros Beli Barang Berjenama

Artikel Berikut

Fouziah Mahu Bercinta Selepas Kahwin

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Marcelo akui Real Madrid rindu Ronaldo

"Mereka tidak layak cakap pasal hoki"