suria

Adibah Noor & Halim Othman Meriahkan 'Iftar Prihatin 2013'

Adibah Noor
Adibah Noor
Adibah Noor

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Adibah Noor dan Halim Othman hadir memeriahkan acara majlis berbuka puasa Iftar Prihatin 2013 di Dewan Brunsfield, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) di sini pada Sabtu.

Kedua-dua selebriti tersebut meluangkan masa bersama seramai 200 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar tahfiz, Rumah Kebajikan Solehah, Cheras dan golongan ibu-ibu tunggal dari sekitar Cheras dan Damansara.

Adibah berkata, jemputan ke majlis yang dianjurkan oleh PBSM itu sebagai satu penghargaan lebih-lebih lagi dapat meluangkan masa bersama-sama golongan yang susah.

"Seperti biasa, apabila di bulan Ramadan, kita pasti akan dijemput menghadiri majlis berbuka di mana golongan anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang-orang tua turut bersama.

"Jadi inilah masanya kita meluangkan waktu mengenali kehidupan susah senang mereka untuk dijadikan pengajaran dalam hidup dan memberikan kita rasa bersyukur ke atas apa yang kita miliki sekarang ini," katanya yang ditemui pada majlis itu.

Halim pula berkata, pengalamannya yang pernah memegang jawatan presiden PBSM di zaman persekolahannya membuatkan dia lebih bersemangat untuk menghadiri acara ini.

"Dahulu saya sebagai presiden PBSM di sekolah. Apabila menghadiri majlis ini, sedikit sebanyak memori lama muncul.

"Apa yang penting, dalam majlis seperti ini, kita dapat mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain tidak kira apa darjat seseorang itu," ujarnya.

Sementara itu, majlis Iftar Prihatin 2013 turut mendapat perhatian daripada Bulan Sabit Merah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di mana pihak mereka telah mendermakan sebanyak RM50,000 kepada PBSM untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Turut hadir pada Iftar Prihatin 2013 ialah Pengerusi Kebangsaan PBSM, Tan Sri Shahriman Tunku Sulaiman dan Ketua Konsular Kedutaan UAE, Eiman Ahmad Alhammadi.

Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi Imad yang mendendangkan beberapa lagu dan pada masa sama menunjukkan skil bakat melukis kepada penonton yang hadir.

Iftar Prihatin 2013 merupakan majlis tahunan pihak PBSM khusus buat golongan susah di samping menghulurkan bantuan daripada segi kewangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain