suria

Tayangan Perdana Filem Jins Shamsuddin Bagi Kenang Jasa - Rais Yatim

Rais Yatim menyerahkan sumbangan kepada pelakon Jins Shamsuddin
Rais Yatim menyerahkan sumbangan kepada pelakon Jins Shamsuddin
Rais Yatim menyerahkan sumbangan kepada pelakon Jins Shamsuddin

HULU KLANG: Tayangan slot khas, rangkaian filem lakonan Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai mengenang jasa beliau dalam industri perfileman negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata, sepanjang penglibatan beliau (Jins Shamsuddin) banyak sumbangan yang telah diberikan terutamanya dalam perkembangan industri perfileman tempatan.

"Kita bercadang akan membuat tayangan perdana menyiarkan semula filem-filem lakonan beliau dalam satu slot khas di RTM.

"Ia bagi mengenang jasa beliau selama ini dalam perkembangan industri filem negara seperti mana kita pernah membuat tayangan perdana kepada filem P.Ramlee dan Nordin Ahmad," katanya yang ditemui di kediamannya, di sini, Sabtu.

Rais turut menyampaikan sumbangan bernilai RM 5,000 menerusi Tabung Kebajikan Penggiat Seni dan sedikit buah tangan kepada bekas Senator Negara ini.

Tambah Rais, dia yakin pengorbanan Jins Shamsuddin dalam mempertingkatkan mutu perfileman negara dapat dijadikan panduan kepada generasi muda.

Sementara itu, isteri kepada Jins Shamsuddin, Puan Sri Halijah Abdullah, 52, berterima kasih atas sumbangan tersebut.

"Alhamdullilah dan terima kasih atas sumbangan ini, saya bersyukur ada pihak yang menginggati pengorbanannya biarpun sudah dua tahun dia tidak lagi aktif dalam dunia seni ini," katanya.

Pelakon filem Bukit Kepong ini menghidapi penyakit alzheimer sejak dua tahun lalu yang telah memusnahkan beberapa sel otak sehingga menyebabkan beliau tidak dapat mengingati kisah-kisah yang dilaluinya dahulu.

Seniman Negara yang berusia 78 tahun itu, banyak meluangkan masa di rumah dan dijaga rapi oleh isteri dan dua orang anaknya.

Antara yang hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Finas, Datuk Md. Afendi Hamdan, Ketua Pengarah Finas, Raja Rozaimie Dalnish Shah dan beberapa rakan Seniman dan seniwati iaitu Umi Kalsom, Mariani, Salmah Ahmad, Datuk Aziz Satar dan Datuk Mustapha Maarof.

Artikel Lain