suria

'Padu Citra' Bela Nasib Pekerja Seni Berkuat Kuasa 2013

Abdul Rahim Awang
Abdul Rahim Awang
Abdul Rahim Awang

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan mengaktifkan kembali pelaksanaan syarat yang tertakluk dalam 'Padu Citra' berkuat kuasa pada Januari tahun depan.

'Padu Citra' yang mewajibkan pelakon, pekerja dan pengarah filem menyertai persatuan yang diiktiraf Finas itu bagi melindungi hak dan keistimewaan para pekerja industri perfileman di negara ini.

Naib Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Abdul Rahim Awang, berkata, pihak Finas telah bersetuju melaksanakan peruntukan Padu Citra selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Bersama (MTB) dengan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Finas, Fatimah Ahmad, pada 15hb Oktober lalu.

“Ini adalah langkah pertama ke arah pembelaan nasib karyawan, artis dan pekerja filem dengan memperkasakan ‘Padu Citra’,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini pada Isnin.

Tiga persatuan yang sudah memiliki hak eksklusif itu ialah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang mewakili pelakon, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) yang mewakili pengarah dan Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) mewakili krew produksi.

Tambah Rahim, ketiga-tiga persatuan akan diberi tanggungjawab membantu Finas membekalkan data keahlian yang lengkap dan terkini serta memberi maklumat tentang penggambaran 'haram' kepada Unit Penguat kuasa Finas.

Dalam pada itu isu gaji minimum karyawan dan pekerja filem juga akan dikemukakan kepada pihak berwajib.

“Walau bagaimanapun ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Satu mesyuarat khas untuk membincang perkara ini akan diadakan nanti.

“Malah isu penggambaran yang terlalu panjang sehingga menimbulkan kesusahan kepada keseluruhan produksi turut dibincangkan walaupun kami sedar waktu kerja dalam industri filem tidak boleh disamakan dengan profesion lain," jelas Rahim.

Pada 15 Oktober lalu, mStar Online melaporkan FDAM telah membentangkan usul kepada Finas supaya menguatkuasakan kembali pelaksanaan syarat yang tertakluk dalam 'Padu Citra' yang tidak lagi aktif seperti diperkenalkan pada 1997.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain