suria

Zalif Sidek Tidak Terpinggir Kerana Berbadan Besar

Zalif Sidek
Zalif Sidek
Zalif Sidek

PETALING JAYA: Pelakon Zalif Sidek, memberitahu saiz badan seseorang itu bukanlah penyebab untuk golongan berkenaan dipinggirkan dalam dunia lakonan sebaliknya mereka akan disanjung jika mempunyai bakat yang luar biasa.

Zalif berkata, badannya yang kelihatan “comel” sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk bergelar pelakon berjaya malah dia amat berbangga kerana mendapat banyak tawaran berbanding artis yang mempunyai susuk tubuh menarik.

“Saya bersyukur dengan anugerah yang saya miliki ini. Saya membuktikan kepada dunia seni keupayaan saya dalam dunia lakonan terletak kepada bakat dan bukannya bentuk badan.

“Kalau badan kita menarik tetapi bakat kita tak seberapa, ia akan mendatangkan masalah juga,” katanya kepada mStar Online.

Pelakon berusia 27 tahun ini memberitahu pada mulanya dia agak merendah diri apabila melihat bentuk tubuhnya tetapi selepas berjaya menghasilkan mutu lakonan yang dikehendaki oleh pihak produksi, dia semakin yakin untuk terusn bersaing.

Sejak beberapa tahun melibatkan diri dalam bidang lakonan, dia sudah menerima banyak tawaran berlakon filem yang kebanyakannya diberi peranan penting.

Katanya, pendapatan segelintir pihak kononnya orang yang berbadan besar sering gagal mendapat peluang adalah tidak benar kerana pelakon Afdlin Shauki sendiri berjaya membuktikan beliau boleh menjadi hero filem walaupun saiz badannya besar.

Malah Zalif juga sering berusaha menjadikan dirinya seorang pelakon yang serba boleh dengan mempelbagaikan watak yang diberi dalam usaha membuktikan kebolehannya itu.

“Saya amat bersyukur kerana saya mendapat peluang untuk berlakon dalam pelbagai watak seperti komedi, islamik selain diberi peluang menjadi ayah. Itu semua pencapaian yang bermakna kepada saya yang berbadan besar ini,” jelasnya.

Antara filem lakonan Zalif ialah Bini Biniku Gengster, Papa I Love You, Hantu Dalam Botol Kicap, 7 Petala Cinta serta dua karya terbaharu iaitu Budak Pailang dan Aji Noh Motor.

Tambahnya, dalam dunia hiburan ketika ini, mereka yang berbadan besar sebenarnya berada pada satu kedudukan dengan pelakon kacak lain kerana kedua-duanya mempunyai kebolehan serta tarikan berbeza.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain