suria

Juliana Evans Lebih Berdikari Ketika Di AS

PETALING JAYA: Pelakon Juliana Evans mengakui dia lebih berdikari sejak berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perfileman, Video dan Media di Universiti Western Michigan pada awal Januari lalu.

Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans berkata, kehidupan baru di AS mengajarnya cara pengurusan diri dengan lebih teratur memandangkan semua perkara dilakukan sendiri tanpa bantuan keluarga.

"Alhamdulillah, pada dua minggu pertama, ibu dan adik ada bersama untuk menguruskan hal-hal universiti dan tempat tinggal.

"Dan kehidupan bersendirian bermula selepas mereka pulang ke tanah air. Seronok juga, kerana saya belajar menguruskan diri sendiri dalam pelbagai perkara," katanya.

Tambah Juliana, dia juga bersyukur kerana pelajar-pelajar Malaysia turut saling membantu jika mempunyai apa-apa masalah.

Dalam pada itu, anak kacukan Melayu Inggeris ini seronok kerana pengajiannya itu dianggap seperti sebuah percutian, tambah pula kehidupannya di sana tidak menjadi perhatian umum.

"Satu perkara yang membuatkan saya seronok apabila berada di sana ialah, saya berasa seperti orang biasa dan tidak diperhatikan.

"Mungkin selepas tamat pengajian saya bercadang untuk berpindah ke San Francisco untuk mendapatkan kerja di sana," ujarnya.

Bercerita mengenai pengalamannya dalam mengenali industri perfileman Hollywood, beritahu Juliana, bukan mudah untuk seseorang menyertai bidang itu kerana terlalu banyak penolakan yang harus dilalui sebelum diterima penerbit untuk menjadi pelakon.

Sementara itu, Juliana yang baru pulang ke tanah air pada tiga minggu lalu bakal menemui peminat di layar perak menerusi filem terbarunya iaitu Mael Lambung yang akan ditayangkan bermula Khamis (hari ini).

"Saya akan bercuti sehingga selepas Aidilfitri dan sepanjang percutian ini akan diisi dengan kesibukan mempromosikan Mael Lambong dan pada masa sama akan menjalani penggambaran filem Dampak.

"Sekurang-kurangnya saya dapat melepas rindu untuk berlakon," tuturnya.

Artikel Lain