suria

Harun Salim Bachik Sahkan Hadir AGM Seniman

Harun Salim Bachik.
Harun Salim Bachik.
Harun Salim Bachik.

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik mengesahkan kehadirannya pada Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke-14 persatuan itu yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

Harun ketika ditemui berkata, dia akan hadir pada mesyuarat itu nanti bagi membubarkan jawatankuasa penggal lalu dan memberikan laluan kepada pemilihan baru yang turut diadakan pada hari sama.

"Saya perlu hadir untuk membubarkan jawatankuasa yang lama kerana saya masih seorang presiden dan kehadiran itu juga adalah satu tanda sokongan saya pada persatuan.

"Sehingga saat ini saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana ahli dan pengunduran saya dalam mempertahankan jawatan saya adalah keputusan sendiri dan tidak melibatkan mana-mana pihak," ujarnya kepada mStar Online pada Rabu.

Harun ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran program Oh My English di sini.

Tambah Harun, walaupun tidak lagi bertindak sebagai presiden Seniman, dia bagaimanapun berjanji akan terus memberi sokongan kepada persatuan itu dan berharap semua ahli akan bersatu padu dalam membela nasib golongan artis di negara ini.

Kerusi yang dikosongkan oleh Harun itu bakal direbut oleh Pemangku Presiden Seniman dan Ketua Biro Seniman Muda, Zed Zaidi dan bekas Presidennya, Datuk Mustapha Maarof.

Dalam pada itu, Harun berkata, kedua-dua calon itu mempunyai kelebihan masing-masing dan sukar untuk dirinya membuat ramalan, siapakan yang bakal menduduki kerusi presiden kelak.

"Zed Zaidi sangat berfikiran luas dan mempunyai idea-idea yang baru dalam menggerakkan Seniman sementara Mustapha mempunyai kelebihan dari segi pengalamannya memegang jawatan itu sebelum ini.

"Jadi sukar untuk kata siapa paling layak namun yang penting objektif Seniman perlu digerakkan dengan lebih baik selepas ini," katanya.

Sementara itu, Harun berkata, dia ingin menumpukan sepenuhnya perhatian kepada karier sebagai pelakon kerana kerjaya itu adalah sumber pendapatan tetapnya.

Ujarnya, sebagai suami dan bapa kepada enam orang anak, dia perlu lebih kuat bekerja untuk menambahkan pendapatan selain memperbaiki taraf hidupnya.

"Bukan saya kata bila berpersatuan atau jadi presiden ni kita tak boleh cari duit untuk menyara keluarga tetapi ini adalah kehendak saya sendiri untuk memberikan tumpuan dengan berlakon kerana ia sumber pendapatan saya buat sekian lama.

"Tambahan pula, saya bukan muda lagi dan kudrat semakin hari semakin kurang. Sementara tengah sihat ni, tumpuan itu adalah untuk membahagiakan keluarga saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Harun berkata, dia teruja dapat terlibat sama dalam program Oh My English yang telah pun mula bersiaran di saluran 610 Astro TViQ kerana selain dapat membantu para pelajar memperbaiki kemahiran Bahasa Inggeris, dia juga dapat menimba ilmu daripada program tersebut.

"Masih belum terlambat untuk belajar kerana kadang-kadang perkara yang kita ingat betul pun sebenarnya salah. Program ini dapat memberikan pembelajaran pada masa sama kita turut terhibur," katanya.

Oh My English disiarkan setiap hari Ahad pada pukul 10 pagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain