suria

Artis DA 10 Yakin Boleh Jual Album

Farlyana. - Foto RAYMOND OOI
Farlyana. - Foto RAYMOND OOI
Farlyana. - Foto RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Artis DA 10 yakin album mereka boleh dijual di pasaran walaupun keadaan pasaran muzik yang merudum kerana lagu yang dimuatkan dalam album tersebut mempunyai kelebihan tersendiri.

Menurut Farlyana Mohd, 18, dia yakin setelah pendengar mendengar album berkenaan, dia pasti mereka peminat akan menyukai lagu-lagu tersebut.

“Album DA 10 mempunyai kelebihan tersendiri. Pada saya, kalau orang dengar lagu-lagunya, mereka akan terus jatuh cinta. Saya juga yakin pasaran album ini akan lebih meluas jika langkah promosi yang dilakukan menepati sasaran terutamanya menerusi stesen-stesen radio,” katanya ketika sidang media dan majlis pelancaran album DA 10 di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.

Farlyana mempertaruhkan lagu Bukan Untuk Sesaat yang kini turut diputarkan di corong-corong radio tempatan.

Sementara itu bagi Rahayudean, 28, yang muncul dengan lagu Lafazkan dalam album tersebut menganggap sudah tiba masanya untuk para peminat industri muzik memberi peluang kepada bakat baru sepertinya bertapak dalam industri seni.

“Jika orang luar hendak tengok bakat baru boleh mendengar album ini. Penghasilan album ini menjadi suatu cara untuk kami ‘mencari makan’ dalam industri,” ujarnya.

Kata Rahayudean, lagu Lafazkan telah menjadi lagu tema untuk drama Kasih Tercipta dan Trilogi Cinta yang telah disiarkan di televisyen.

Biarpun penerbit album ini, Julfekar pernah dilanda kontroversi, Farlyana dan Rahayudean akui selesa bekerja dengan komposer itu.

“Dia memahami kerja kami dan tiada masalah dengan kami,” ujar mereka.

Farlyana sudah lama mengenali Julfekar sejak menyertai pertandingan nyanyian anjuran RTM manakala Rahayudean mula dilamar untuk bernaung di bawah MillenniumArt Sdn Bhd pada 2007 setelah beberapa kali bertemu dengan Julfekar di setiap pertandingan nyanyian yang disertainya termasuk Bintang Klasik Nasional 2007.

Artis lain yang turut terlibat dalam album ini adalah Min Yasmin yang menyanyikan lagu Jauh Di Mata, SriDewi (Meraih Cintamu), Akasia (Demi Kita), Endra (Terurai Sudah), Reen Rahim (Demi Kita), Farhana (Dalam Sudut Kasih), Rifhan (Merpati Hatiku) dan Elveena Idris (Pelangi Impian).

Album DA 10 telah berada di pasaran bermula bulan ini.

Kesemua artis DA 10 turut akan terlibat dengan beberapa siri jelajah untuk mempromosikan album ini ke seluruh negara seperti Kuantan, Kuala Terengganu, Kemaman, Sungai Petani, Seremban, Melaka, Johor Baru, Ipoh, Alor Setar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bermula bulan ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dewi Sandra Nikah Lagi

Artikel Lain