suria

Aida Aris Sah Bergelar Isteri Husfarid

Aida menerima mas kahwin daripada Husfarid selepas sah bergelar suami isteri. - Foto oleh LOW LAY PHON
Aida menerima mas kahwin daripada Husfarid selepas sah bergelar suami isteri. - Foto oleh LOW LAY PHON
Aida menerima mas kahwin daripada Husfarid selepas sah bergelar suami isteri. - Foto oleh LOW LAY PHON

HULU KELANG: Dengan sekali lafaz, aktres Aida Aris, 38, sah bergelar isteri kepada Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussain, 38, di kediaman pengantin perempuan pada pukul 10.45 pagi di Taman Sierra Ukay, di sini, Sabtu.

Kedua mempelai dinikahkan oleh Ustaz Daim Jajuli, pegawai tadbir dan pendaftar kanan dari Pejabat Agama Islam Gombak Timur, Keramat berwalikan abang Aida, Amiruddin Mat Aris, 42, dengan mas kahwin RM330.

Menurut Amiruddin, bapa Aida, Mat Aris Janor, 83, tidak boleh mewalikan pernikahan anak perempuannya itu kerana uzur.

Aida turut menerima hantaran berupa sebentuk cincin daripada pihak lelaki dan membalas kepada pasangannya dengan hantaran yang sama.

Aktres yang popular menerusi drama bersiri Awan Dania ini akui lega, gembira dan terharu selepas diijabkabulkan.

"Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan baik walaupun dalam keadaan tergesa-gesa. Selepas kami mendapat kebenaran dari pejabat agama pada minggu lalu, terus kami menetapkan tarikh perkahwinan dan membuat persiapan dalam masa seminggu.

“Kalau boleh, memang saya nak beraya dengan suami pada tahun ini,” kata Aida yang anggun mengenakan pakaian potongan kebaya moden berwarna kelabu rekaan Arefen Zaidin.

Jika mengikut perancangan, mereka mahu disatukan sebelum bulan Ramadan tetapi disebabkan mempunyai masalah dokumen perkahwinan di pejabat agama, maka perkahwinan itu terpaksa ditangguhkan.

Kira-kira 50 orang hadir dalam majlis sederhana itu termasuk bapa Aida, ibu Aida, Siti Khadijah Abu Sujah, 72, ibu Husfarid, Maznah Jaafar, 63, bapa Husfarid, Shaikh Hussein Shaikh Ibrahim, 72, dua orang anak Husfarid iaitu Farish Nasha, 9, dan Danish Hazin, 7, serta pelakon Sharifah Haslinda dan suami, Datuk Seri Reezal Merican Naina.

Sementara persalinan baju Melayu kelabu Husfarid turut direka oleh Arefen Zaidin. Selain itu, pelamin rekaan Butik Pengantin Inspirasi Cinta yang ditaja oleh pelakon Sharifah Shahira serta solekan oleh Su Cantik.

Majlis resepsi mereka akan berlangsung pada malam ini di kediaman Aida dengan bertemakan warna merah dan putih. Arefen Zaidin juga bertindak selaku pereka persalinan untuk resepsi kedua-dua mempelai. Seramai 200 tetamu yang dijemput meraikan mempelai terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara dan rakan terdekat.

Buat sementara ini, mereka tidak pasti sama ada akan mengadakan majlis kenduri besar-besaran selepas ini.

Aida dan Husfarid telah melalui tempoh perkenalan sejak 17 Februari tahun ini selepas berjumpa di majlis hari jadi Aida. Husfarid merupakan Ketua Pramugara MAS dan telah hidup menduda selama tiga tahun. Hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak.

Bagi Aida yang menjanda selama lima tahun, ini merupakan perkahwinan keduanya dan tidak dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin dengan produser program, Bob Azrai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artis Veteran Terima Duit Raya

Artikel Lain