suria

Artis Veteran Terima Duit Raya

Artis baru dan lama berkumpul pada majlis berbuka puasa di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu lalu. Gambar The Star oleh Azhar Mahfof.
Artis baru dan lama berkumpul pada majlis berbuka puasa di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu lalu. Gambar The Star oleh Azhar Mahfof.
Artis baru dan lama berkumpul pada majlis berbuka puasa di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu lalu. Gambar The Star oleh Azhar Mahfof.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 45 orang artis veteran diraikan dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Pengarah Hotel Concorde, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir di Saloma Bistro di sini, Rabu.

Mereka antaranya terdiri daripada bintang legenda Mat Sentul, Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustapha Maarof, Zaiton Sameon, Kuswadinata, Latifah Omar, Hail Amir dan Uji Rashid.

Dalam majlis yang serba sederhana itu Syed Yusof atau lebih dikenali sebagai Jojo turut menyerahkan angpau Hari Raya kepada artis-artis berkenaan sebanyak RM300 setiap orang.

Menurut Jojo, ini merupakan tahun keenam beliau menganjurkan majlis berbuka puasa untuk artis veteran ini.

“Sambutan majlis berbuka puasa pada tahun ini lebih mesra dan dihadiri oleh ramai orang. Bukan sahaja merasai keseronokan bersama-sama malah kami dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Apabila melihat artis veteran dan artis baru berkumpul beramai-ramai, saya rasa seronok dan majlis seperti ini patut dianjurkan pada setiap tahun. Insya-Allah, saya akan melakukannya pada setiap tahun,” kata beliau.

Selain artis veteran, majlis tersebut turut dihadiri oleh hampir 400 tetamu termasuk artis muda dan baru seperti Lisa Surihani, Kelvin Lau, Farhan, Betty Banafe dan Zahida Rafik.

“Saya seronok dan gembira apabila melihat artis-artis legenda ini gembira apabila mereka dapat berkumpul beramai-ramai. Saya tidak boleh melupakan jasa-jasa mereka yang mewarnai industri perfileman tanah air. Walaupun ada yang telah meninggal dunia, saya tetap memanggil ahli keluarga mereka untuk sama-sama memeriahkan majlis ini,” ujarnya yang meminati Seniwati Mariani sehingga sekarang.

Secara peribadi, Jojo mengakui sangat menyayangi seniwati itu dan sering menghubunginya untuk bertanya khabar.

Jojo juga mengagumi kehebatan Mariani yang masih aktif berlakon filem dan drama walaupun sudah lanjut usia.

Bercerita tentang Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba, Jojo tidak akan melepaskan peluang mengadakan majlis rumah terbuka pada setiap tahun di kediamannya di Shah Alam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain