suria

Zahiril Pernah Dituduh Perampas

Zahiril sedang saling mengenali dan rapat dengan Shera. - Foto oleh GLENN GUAN
Zahiril sedang saling mengenali dan rapat dengan Shera. - Foto oleh GLENN GUAN
Zahiril sedang saling mengenali dan rapat dengan Shera. - Foto oleh GLENN GUAN

“KAMI sedang saling mengenali sambil menunggu apa yang akan terjadi di esok hari,” kata aktor baru Zahiril Adzim, 26, mengenai hubungannya dengan personaliti TV3, Shera Aiyob, 24.

Baru-baru ini, dia dikatakan menjadi perampas antara hubungan cinta Shera dengan aktor siri Tari Tirana, Shah Jazle, 22.

Puncanya, timbul dakwaan mengatakan sepupu Shah pernah ternampak Zahiril dan Shera keluar berdua-duaan.

Sedangkan mereka dikatakan keluar beramai-ramai bersama beberapa kawan yang lain.

Menjawab dakwaan itu, Zahiril hanya tergelak sekali gus mengatakan perkenalannya dengan Shera baru berputik dua bulan lalu. Sedangkan Shera dan Shah berpisah kira-kira empat bulan lalu.

“Semasa mereka putus cinta, saya belum mengenali dan berkawan dengan Shera. Cerita tentang saya menjadi orang tengah langsung tidak betul.

“Kami baru kenal di set pengambaran semasa sama-sama berlakon dalam telefilem Ada Sesuatu Yang Tertinggal kira-kira dua bulan lalu. Kemudian, baru kami menjadi rapat.

“Selepas itu, kami selalu keluar bertiga ditemani pembantu peribadi saya dan lepak serta menonton wayang di The Curve bersama-sama pelakon dan kru tele filem itu,” jelasnya.

Walaupun begitu, pelakon filem Kami The Movie itu dengan tenang menerima dakwaan itu dan mempersoalkan di mana wujudnya isu perampas sedangkan dia mengenali hos program kapsul, My TV3 itu selepas pasangan kekasih tersebut putus cinta.

Zahiril akui, dia selesa berkawan dengan wanita itu lantas tidak melepaskan peluang untuk perkenalkan kepada ibunya.

“Biasanya, saya akan membawa semua kawan saya berjumpa dengan ibu saya supaya dia tahu dengan siapa saya berkawan. Ibu saya tidak menghalang saya berkawan dengan Shera selepas saya bawanya berjumpa dengan Shera di sebuah restoran di Shah Alam,” katanya yang ketika ini berada di Perlis menjalani penggambaran telefilem Cermin Dua Muka untuk RTM.

Keluarga Shera juga sudah mengetahui hubungan mereka cuma Zahiril belum ada peluang berjumpa.

Tambah Zahiril: “Sepanjang mengenalinya, saya tertarik dengan karakter Shera yang sama-sama ‘ting-tong’ (gila-gila) seperti saya, sempoi dan tidak kontrol,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahiril juga baru selesai menjalani penggambaran dua buah filem iaitu filem Tolong Awek Aku Pontianak terbitan Tayangan Unggul dan filem 3 GP terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd.

Anak muda berasal dari Taiping, Perak itu juga pernah muncul sebagai model klip video muzik Hujan Bunga Di Kuala Lumpur dan Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Raffali serta Kau Dan Aku nyanyian Aizat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain