suria

Kejayaan Bukan Mudah Digenggam

Bersama Vanida Imran dalam kolum VivaVee
Bersama Vanida Imran dalam kolum VivaVee
Bersama Vanida Imran dalam kolum VivaVee

SALAM semua, bulan April menyaksikan pelbagai jamuan tengah hari dan hi-tea diadakan bagi meraikan Minggu Setiausaha. Ditujukan khas bagi warga setiausaha yang banyak membantu dan berjasa pada bos-bos atau majikan mereka.

Seorang setiausaha memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan hal ehwal kerja majikan mereka teratur.

Adakalanya setiausaha juga menjaga jadual peribadi majikan mereka seperti tarikh perkahwinan, sukan anak-anak, lunch appointment dan sebagainya.

Minggu lalu Vee berkesempatan untuk menghadiri jemputan PNB Darby Park untuk menyaksikan dua ‘diva’ yang merupakan penyanyi idola saya di Sime Darby Convention Centre.

Peluang untuk menyaksikan Anita Sarawak dan ratu jazz Sheila Majid bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang.

Sememangnya Anita Sarawak adalah seorang penghibur yang bertaraf dunia. Persembahannya yang sungguh bertenaga hampir satu jam sangat mengkagumkan.

Dalam usia sebegitu, Kak Nita masih mampu mempamerkan kelincahannya di pentas. Pilihan lagu dan lawak jenakanya membuatkan semua penonton terhibur.

Kualiti persembahan Kak Nita jarang sekali kita dapat melihat pada penyanyi-penyanyi muda yang sedia ada sekarang ini. Bukan mudah menjadi seorang entertainer seperti Kak Nita.

Selepas persembahan Anita Sarawak, tibalah giliran Datuk Sheila Majid untuk memulakan persembahan. Sebelum tiba ke dewan ini, Vee sempat membeli set kotak album CD Sheila Majid 25 Tahun yang istimewa, bagi meraikan ulang tahun ke-25nya dalam industri muzik tanah air.

Konsert pertama yang Vee hadiri bersama kawan-kawan Convent Bukit Nenas sewaktu bersekolah dahulu adalah konsert ‘Warna’ Sheila Majid di Life Centre, Kuala Lumpur.

Teringat lagi ketika itu trend skirt can-can dan sarung tights hitam ala Sheila Majid menjadi ikutan. Boleh dikatakan imej Sheila yang sederhana tetapi mempunyai kelas mempengaruhi stail Vee sendiri.

Berbalik kepada persembahan minggu setiausaha tadi, Sheila memulakan persembahan dengan berduet bersama Anita Sarawak lagu Tiru Macam Saya.

Persembahan yang cukup mencuit hati dan mempesonakan dengan telatah masing-masing yang menggelikan hati menyebabkan kesemua tetamu melirik senyuman ke telinga!

Sheila meneruskan persembahan sudah tentunya dengan pesona seorang bintang dan mendendangkan lagu-lagu yang menggamit memori penonton bersama dibuai dengan kemerduan suara Sheila dengan diringi oleh band yang diketuai oleh suaminya sendiri, Acis.

Memang Vee rasa cukup terhibur sepanjang dua jam berada di dewan tersebut. Pada Sabtu yabg lalu juga Vee berpeluang untuk menghadiri seminar Wanita Bersama Setiausaha yang dianjurkan julung kalinya oleh majalah Wanita bertempat di Prince Hotel, Kuala Lumpur.

Bertemakan Menjana Kerjaya Berhemah, Berjiwa Cemerlang, ia menjadikan sambutan minggu setiausaha lain daripada yang lain.

Selama ini, minggu setiausaha yang kita ketahui lebih kepada hiburan oleh penyanyi atau pun penghibur, tetapi program yang disediakan oleh penganjur menjurus kepada membina keperibadian untuk para setiausaha menanam integriti dan memupuk budaya kerja yang lebih berhemah.

Pelbagai aturcara yang disediakan untuk para setiausaha, topik bualcara oleh ahli panel terkenal, antaranya yang dihadiri oleh Senator Datuk Dr Mashitah dan Datuk Paduka Toh Puan Seri Diraja Noor Aini Datuk Abdullah.

Peserta juga berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen Butik Jarumas dan demonstrasi solekan oleh Datuk Paduka Sosilawati, pengasas Nouvelles Visages.

Rosyam Nor turut hadir sebagai panel jemputan mengakhiri seminar itu dengan berkongsi rahsia kejayaannya.

Beliau bercerita rahsia hidupnya bagaimana beliau pernah daif satu ketika dahulu, membesar di Kampung Kerinchi. Rosyam mula bekerja ketika usia muda lagi mencari rezeki menjadi krew produksi dan sebagainya sehinggalah beliau mengecap kemewahan yang ada sekarang ini.

Bagi Vee, Rosyam Nor di mata Vee adalah seorang yang cekal dan tabah mengharungi apa jua cabaran dalam kehidupan. Dia adalah seorang pejuang, tidak kenal erti kalah.

Vee juga mengharapkan kejayaan demi kejayaan, dan Vee tahu bukan mudah untuk kita mengecapi sesuatu yang tinggi dan jaya. Kerana itulah juga Vee masih bekerja keras demi peminat dan penyokong Vee selama ini.

Pengalaman melihat Anita Sarawak, Shiela Majid dan Rosyam Nor yang masing-masing masih bertahan dan melakukan segalanya untuk menghiburkan tanpa penat para peminat mengajar Vee kejayaan bukan mudah digenggami dan juga bukan cepat dikecapi. Sehingga bertemu lagi minggu hadapan. Salam.

Artikel Lain