suria

Awie & Geng Wings 'Layan' Gim Demi 'Double Trouble 2'

Demi komitmen terhadap konsert Double Trouble 2 bulan depan, Awie memulakan inisiatif dengan mengajak geng Wings yang lain bersenam di gim untuk stamina. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Demi komitmen terhadap konsert Double Trouble 2 bulan depan, Awie memulakan inisiatif dengan mengajak geng Wings yang lain bersenam di gim untuk stamina. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Demi komitmen terhadap konsert Double Trouble 2 bulan depan, Awie memulakan inisiatif dengan mengajak geng Wings yang lain bersenam di gim untuk stamina. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

BAIK kumpulan Wings mahupun Search, kedua-duanya mengakui konsert Double Trouble 2 yang bakal dipentaskan di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort tanggal 1 Mei depan bukan calang-calang komitmen buat mereka.

Menyedari komitmen besar yang digalas itu, Awie dan geng Wings termasuk Joe, Eddy dan Black yang sedang sibuk dengan latihan untuk konsert itu turut bergiat aktif dalam persiapan fizikal.

Terbaru, kumpulan yang popular dengan lagu Sejati ini dikatakan mula aktif bersenam di gimnasium bagi mengekalkan stamina dan mengembalikan kecergasan fizikal mereka. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada persiapan mereka untuk menghadapi konsert penting itu kelak.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, dia dan geng Wings yang lain mula aktif dengan aktiviti senaman di gimnasium sejak kira-kira sebulan dua yang lalu.

Bermula dengan dirinya, Awie kemudiannya mengajak rakan-rakan kumpulannya itu untuk turut serta.

"Sebagai persiapan fizikal bagi memantapkan stamina dan tenaga kami untuk konsert ini, saya dan geng Wings sudah mula bersenam di gimnasium sejak sebulan yang lalu.

"Maklumlah, umur pun bukan makin muda dan kami pula sudah terlalu lama tidak mengadakan konsert besar seperti Double Trouble 2. Masing-masing sudah 'pancit' dan kurang berstamina seperti dulu.

"Atas kesedaran itu, saya ajak geng yang lain untuk bersenam di gimnasium. Pada awalnya, saya yang mula-mula bersenam semula di gimnasium.

"Kemudian saya ajak mereka untuk turut serta. Selain latihan nyanyian, hampir setiap malam kami akan 'layan' gim untuk bersenam," katanya.

Akui penyanyi dan pelakon berusia 41 tahun itu lagi, sudah hampir dua tahun dia tidak bersenam di gimnasium sejak terlibat aktif dalam bidang lakonan filem, drama dan teater.

Justeru, peluang untuk beraksi di konsert ini adalah alasan terbaik untuk dirinya kembali aktif ke gimnasium seperti dulu.

"Sudah dua tahun lebih saya tidak bersenam di gimnasium. Seingat saya selepas berlakon dalam filem Sumo-lah pada 2007, saya tidak lagi aktif ke gimnasium.

"Komitmen dalam karier lakonan yang silih-berganti membuatkan saya semakin sibuk dan tidak kisah untuk menjaga bentuk badan.

"Memandangkan konsert ini makin hampir dan kami memerlukan stamina dan kecergasan, jadi saya ajak mereka 'layan' gim untuk memantapkan stamina dan fizikal kami," jelas Awie yang bakal menimang anak kelimanya pada pertengahan bulan ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain