suria

Yasmin Hani Suka Berlakon Komedi

YASMIN Hani mengakui laluan karier pengacaraannya tidak selancar seperti sebelumnya sejak dia tamat kontrak dengan Astro kira-kira dua tahun lalu.

Justeru untuk meneruskan kelangsungan hidup, Hani segera menggunakan segala peluang yang ada di depan mata.

Menyedari tawaran lakonan agak memihak kepadanya hari ini, Hani tidak menolak peluang itu dan memanfaatkan sebaik mungkin apa jua peluang yang terhidang.

Walaupun wajahnya tidak begitu meriah menghiasi drama-drama TV atau filem, penampilannya dalam telefilem Nizam Kambing dan filem Dua Hati Satu Jiwa contohnya, tetap memberi ruang kepada Hani untuk mencari rezeki dan memperkembangkan bakat yang ada.

"Saya sangat bersyukur, walaupun tawaran pengacaraan tidak semeriah dulu, karier lakonan saya berjalan dengan baik.

"Untuk projek lakonan terbaru, berkemungkinan besar saya akan berlakon dalam telefilem Kek Penyek terbitan A. Aida Production.

"Namun, saya belum boleh beri kata putus lagi. Kena tunggu pengesahan akhir daripada pihak produser.

"Apa yang pasti memang saya terlibat, cuma belum boleh umumkan lagi butiran lanjut," kata Hani.

Menyentuh mengenai cabang lakonan, Hani berkata, lewat ini dia semakin teruja untuk menerima tawaran drama atau filem yang ringan dan komedi.

Sebelum ini, wajah jelita Hani sudah dilihat dalam drama komedi Nizam Kambing dan filem Razak Mohaideen, Duyung.

"Memang saya sukakan drama atau filem komedi. Cuma sebelum ini tiada peluang. Sejak berlakon filem Duyung minat terhadap karya-karya komedi semakin mendalam pula," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain