suria

GiatMara Mahu Bekerjasama Dengan KRU Dalam Bidang Animasi

KUALA PILAH: Pusat Latihan GiatMara yang kini menawarkan kursus Animasi 3D mahu bekerjasama dengan KRU Studios bagi memantapkan industri animasi dan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) tanahair.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abd Majid pihaknya sedang berunding dengan KRU untuk menyediakan tempat bagi pelatih GiatMara dalam kursus animasi.

"Kalau diperlukan kami bersedia untuk menjalani kursus di pejabat KRU. GiatMara boleh menyediakan juruteknik dalam bidang animasi untuk produksi mereka," katanya kepada pemberita selepas karnival Syarikat Perumahan Negara Berhad yang dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek di sini semalam.

Beliau yakin langkah GiatMara adalah tepat kerana industri animasi negara kini sedang bergerak maju terutama selepas melihat sambutan hangat masyarakat terhadap siri animasi Upin dan Ipin.

Katanya pusat itu telah mem perkenalkan kursus animasi sejak dua tahun lepas dan pada tahun pertama 12 orang pelatih telah mengikuti kursus itu.

"Tujuh daripada mereka berjaya dalam bidang masing-masing, ada yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Lim Kok Wing, ada yang bekerja dengan syarikat animasi dan ada yang sudah membuka syarikat animasi mereka sendiri," katanya.

Kursus animasi yang ditawarkan GiatMara masih terbuka kepada semua golongan rakyat Malaysia tetapi ia memerlukan kelulusan masuk Sijil Pelajaran Malaysia memandangkan ia melibatkan kemahiran komputer dan perisian, katanya.

Beliau yakin langkah GiatMara menawarkan kursus ini sangat tepat memandangkan generasi muda negara memberi sambutan hangat terhadap media digital berbanding medium tradisional lain. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain