suria

RTM Ibarat Isteri Pertama Yang Tidak Dihargai, Kata Rais

MENTERI Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengibaratkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai isteri pertama yang sudah tidak dihargai memandangkan sudah banyak stesen televisyen swasta bersiaran di negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa RTM bersikap 'syok sendiri', semasa sesi penggulungan kementerian itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

"RTM sudah wujud lebih tua dari sesetengah Yang Berhormat di sini dan saya masih ingat masa dulu, semasa kita menghadapi masalah di Kedah dan sebagainya, RTM itulah sumber kita.

"Tinggal lagi oleh kerana sekarang kahwin dah ramai dan banyak, maka isteri yang pertama dah dikatakan busuk. Saya fikir RTM masih wangi dan apabila sampai masa untuk berpilihan raya dan sebagainya, kewangian itu akan menusuk lubang hidung Yang Berhormat dari Pasir Mas," katanya.

Bagaimanapun, Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang mencelah semasa menteri itu memberikan kenyataannya meminta Rais menarik balik kenyataan itu yang disifatkan sebagai tidak sensitif terhadap peribadi wanita.

"Sebagai menteri yang memegang portfolio kebudayaan sepatutnya jauhkan dari menggunakan analogi yang memyentuh peribadi wanita. Menteri harus lebih sensitif," katanya.

Rais berkata beliau tidak berniat buruk dan hanya ingin menyatakan bahawa RTM adalah suatu badan lama yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

"Saya tidak ada niatniat yang lain, saya hanya ingin menyatakan bahawa RTM adalah satu badan yang lama dan memang ia perlu memperbaiki diri," katanya.

Beliau berkata antara langkah yang akan diambil untuk menambahbaik RTM ialah kementerian itu akan membawa pengamal-pengamal televisyen swasta untuk berkhidmat dengan RTM, membuka lebih banyak peluang kepada pengacara muda dan menerbitkan program-program tempatan yang lebih menarik. BERNAMA

Artikel Lain