suria

FFM22 catat penyertaan terbesar

Mahyidin bersama trofi FFM22 yang baru - foto THE STAR oleh ONG SOON HIN
Mahyidin bersama trofi FFM22 yang baru - foto THE STAR oleh ONG SOON HIN
Mahyidin bersama trofi FFM22 yang baru - foto THE STAR oleh ONG SOON HIN

FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu Sabah bermula 5 hingga 8 Ogos depan melakar sejarah tersendiri sepanjang penganjurannya dengan menyaksikan jumlah penyertaan terbesar kali ini bagi kategori filem cereka, filem pendek, animasi dan dokumentari.

Sebanyak 26 buah filem cereka, 53 filem pendek, 23 filem animasi dan 94 filem dokumentari telah mengesahkan penyertaan masing-masing, manakala kategori filem digital menyaksikan lima penyertaan.

Bagi kategori cereka, antara filem yang menyertai FFM22 ini ialah Geng:Pengembaraan Bermula, Talentime, Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam, Senario The Movie Episod 1, Histeria, Syurga Cinta, Cicakman 2 Planet Hitam, Kami The Movie, Los & Faun dan Sifu & Tongga.

Mengulas mengenai perkara itu, kata Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim, pihaknya bangga dengan sambutan memberangsangkan yang diterima terhadap penyertaan filem bagi tahun ini.

"Ini menunjukkan tanda positif industri perfileman tempatan. Malah, menerusi mesyuarat jawatankuasa yang kami adakan, kami juga telah memutuskan untuk melanjutkan tarikh tutup penyertaan filem yang sepatutnya pada 5 Julai lalu ke 13 Julai ini selewat-lewatnya pukul 5 petang.

"Lanjutan tarikh ini juga dibuat atas permintaan penerbit-penerbit filem juga. Jadi kami menjangkakan lebih banyak lagi penyertaan," kata Mahyidin pada sidang media pengumuman senarai penyertaan filem dan taklimat berkenaan FFM22 di Finas, semalam.

Trofi baru untuk pemenang FFM22 juga turut diperkenalkan pada sidang media tersebut.

Antara kriteria kelayakan untuk menyertai FFM22 ialah filem-filem tersebut perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) bermula dari tempoh 0gos 2008 sehingga Julai 2009 meskipun belum ditayangkan.

Secara keseluruhannya, FFM22 akan mempertandingkan sebanyak 13 kategori menerusi Anugerah Perdana seperti Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik manakala sebanyak 12 kategori pula menerusi Anugerah Cipta seperti Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik serta sebuah kategori baru, Filem Komedi Terbaik.

Lima Anugerah Juri juga akan diberikan menerusi beberapa kategori seperti Anugerah Veteran Lelaki dan Wanita serta Anugerah Filem Box Office.

Dalam pada itu, Mahyidin turut menjelaskan tentang pengisian acara FFM22 yang bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia yang mana setiap program yang bakal diadakan itu turut mendapat kerjasama daripada Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

FFM22 akan dirasmikan pada 5 Ogos di One Borneo, Kota Kinabalu oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, yang mana pada malam tersebut akan diadakan majlis penyampaian anugerah bagi 10 kategori sebelum disusuli dengan tayangan perdana dua buah filem.

"Sepuluh anugerah yang akan disampaikan pada malam itu antaranya ialah Pelakon Harapan Wanita, Pelakon Harapan Lelaki, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Poster Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Filem Digital Terbaik, Filem Pendek dan Filem Animasi manakala selebihnya akan diberikan pada malam kemuncak pada 8 Ogos.

"Pada malam perasmian juga, kita akan adakan tayangan perdana dua buah filem yang belum pernah ditayangkan. Setakat ini kita sudah menyenaraikan lima buah filem, tetapi kita akan pilih hanya dua untuk ditayangkan," katanya.

Antara program lain yang akan berlangsung sebelum tibanya malam kemuncak yang akan diadakan di Dewan Chanselor Universiti Malaysia Sabah itu ialah bengkel penerbitan video, lakonan dan penulisan skrip (3 hingga 7 Ogos), tayangan percuma 21 buah filem yang bertanding (6 hingga 8 Ogos), simposium perfileman (6 Ogos), apresiasi perfileman (6 Ogos), sesi lawatan artis (6 Ogos), malam bintang lagenda (6 Ogos) serta lawatan amal bersama artis (7 Ogos).

"Untuk bengkel lakonan yang akan kita lakukan nanti, kita akan mengadakan sesi ujibakat terlebih dahulu selama dua hari bermula hari ini di Courtyard, One Borneo dan dihoskan oleh AR Badul dan Pierre Andre. Mereka yang bertuah nanti akan dipilih untuk menyertai bengkel tersebut.

"Simposium perfileman pula akan menyaksikan perbentangan tiga tajuk berdasarkan tema FFM22 seperti pemasaran filem ke peringkat antarabangsa," ujar Mahyidin.

Acara kemuncak FFM22 pula akan disiarkan secara langsung di RTM1 pada pukul 8.30 malam manakala acara karpet merah akan berlangsung sejam sebelum itu.

Mereka yang berminat untuk menyaksikan majlis berprestij itu serta program-program lain sempena FFM22 boleh mendapatkan tiket daripada urusetia FFM22 di Hotel Novotel, Kota Kinabalu bermula 1 Ogos ini.

Artikel Lain