suria

Lelongan amal ABPBH2008 gamat dan berjaya kutip lebih RM64 ribu!

Mawi dan Ekin berjaya menarik perhatian pengunjung ketika menjual aiskrim Wall's.
Mawi dan Ekin berjaya menarik perhatian pengunjung ketika menjual aiskrim Wall's.
Mawi dan Ekin berjaya menarik perhatian pengunjung ketika menjual aiskrim Wall's.

DENGAN tarikan lebih 100 artis termasuk artis popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Anita Sarawak, Aznil Haji Nawawi, Meet Uncle Hussain, Aizat, Nabil Raja Lawak, dan Rosyam Nor, kira-kira 20,000 pengunjung yang hadir ke Amcorp Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.

Ternyata Karnival Beramal Bersama Bintang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Untuk Gaza anjuran akhbar Berita Harian itu bukan sahaja berjaya menarik orang ramai untuk menghulurkan sumbangan, malah tidak kurang juga antara mereka yang menggunakan kesempatan tersebut untuk bertemu artis kesayangan mereka dengan lebih dekat.

Diikutkan, lokasi yang tidak terlalu besar, padat dan tidak mempunyai ruang udara itu boleh dikatakan kurang sesuai untuk menjalankan acara bersesak-sesak seperti ini.

Bagaimanapun, nasib baik tidak berlaku kejadian yang tidak diingini kerana rata-rata mereka yang hadir pandai mengawal diri masing-masing walaupun terpaksa bergelut dengan kepanasan dan hiruk-pikuk artis-artis yang bersuara menjerit “Jual..jual..lelong..lelong..murah..murah..” dan pelbagai ragam yang kadangkalanya mampu mencuit hati dan menghiburkan.

Mungkin, jika ada kesempatan lain, ruang padang di hadapan Amcorp lebih idela untuk acara seperti ini.

Telatah sang pengacara majlis iaitu Along dan Azrul (Cham) dan Angah Raja Lawak juga mampu menggamatkan suasana lelongan itu.

Lebih riuh apabila Mawi dan Ekin menjual aiskrim Wall's.

Antara lelongan yang paling menarik perhatian penonton adalah ketika hos Aznil Haji Nawawi melelong jaket ZARA yang ditampal berlian yang pada mulanya diletak pada harga RM220.

Selepas itu, terdapat beberapa pengunjung yang membida harga untuk membeli jaket tersebut sehingga yang paling tinggi mencecah RM320.

Akhirnya, jaket yang dipakai Aznil ketika Anugerah Skrin 2008 lalu dijual kepada peminat ciliknya.

Selain itu, penyanyi Anita Sarawak juga mampu menarik pengunjung di sebelah paginya apabila membida ‘dress’ berwarna hijau pada harga RM4,000 setelah selebriti Chef Wan meletakkan harga tertinggi itu.

Penyampai radio Hot FM Fara Fauzana juga membeli ‘dress’ yang dilelong oleh Anita pada harga RM800.

Bukan itu sahaja, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza turut berjaya mengumpul RM900 setelah melelong dua helai jaket koleksinya.

Mawi juga melelong sepasang kasut Ferragamo dan seluar jeans Guess di mana kedua-duanya berjaya mengumpul RM530.

Sementara itu, artis-artis yang menjual barangan peribadi mereka di gerai masing-masing seperti Meet Uncle Hussain, Alyah, Misha Omar, Aizat, Ifa Raziah, Didie Akademi Fantasia, team TV3, team Hot FM, Salamiah Hassan, dan Anita Sarawak turut berjaya memikat hati pengunjung untuk singgah dan tidak kurang juga menggunakan peluang untuk merakamkan gambar bersama.

Artis lain seperti Sharifah Amani, Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Lisa Surihani, Liyana Jasmay, Sherry Ibrahim, Eja dan ramai lagi juga ‘turun padang’ menolong menjual produk seperti kek yang ditaja oleh hotel Palace of The Golden Horses, Hotel Prince, Hotel Istana, Hotel Seri Pacific, Hotel Nikko, Hotel Legend, Hotel Grand Millenium, Hotel Berjaya Times Square & Convention Center dan Hotel Renaissance.

Secara keseluruhan, karnival yang bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang tersebut berjaya mengumpul jumlah kutipan di luar jangkaan dengan keseluruhannya RM64,250.89.

Artikel Sebelum

Wajah 'tua' Brad Pitt menjadi!

Artikel Lain