suria

Penari kena hempap skrin LED gergasi sudah mampu duduk, mandi buat kali pertama selepas 4 bulan kemalangan

Keadaan kesihatan Kai Yin menunjukkan perkembangan positif.

PENARI Lee Kai Yin yang cedera parah selepas dihempap skrin LED gergasi sewaktu mengiringi persembahan konsert kumpulan Mirror dilaporkan semakin stabil sejak insiden menggerikan itu.

Bapanya, Derek Li memaklumkan Kai Yin kini sudah boleh duduk di atas kerusi roda untuk tempoh lebih lama berbanding sebelum ini malah mandi buat kali pertama dalam tempoh empat bulan selepas kejadian.

Sebelum ini, laporan media mendedahkan penari berusia 28 tahun itu dikatakan berkemungkinan lumpuh daripada bahagian leher akibat kemalangan berkenaan.

Pada awal November lalu, pasukan petugas yang meninjau lokasi kemalangan mendapati penganjur konsert gagal mengesahkan keselamatan pemasangan skrin LED sehingga menyebabkan dua orang penari termasuk Kai Yin cedera parah.

ARTIKEL BERKAITAN: Skrin besar hempap 2 penari di konsert Mirror, salah seorang kritikal cedera bahagian tengkuk

Sehubungan itu, Setiausaha Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Hong Kong, Kevin Yeung Yun Hung merancang untuk memperkenalkan skim perintis yang mewajibkan kerja-kerja pemasangan pentas dan peralatan diperiksa pihak ketiga.

Kevin memberitahu projek itu merangkumi butiran seperti barangan yang digunakan perlu mendapat pengesahan selain pemilihan lokasi konsert di tempat kendalian kerajaan.

Untuk rekod, sebuah skrin berkenaan terjatuh ketika kumpulan Mirror sedang membuat persembahan di Hong Kong Coliseum pada 28 Julai 2022.

Dua orang penari di atas pentas mengalami kecederaan dan konsert yang sepatutnya berlangsung sehingga 6 Ogos lalu terpaksa ditangguhkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain