suria

Selepas isu curang, Shakira dan Gerard Pique umum berpisah selepas 12 tahun hidup bersama

Shakira dan Pique umum berpisah.

POP star Colombia Shakira, 45, dan kekasihnya iaitu pemain pertahanan Barcelona FC Gerard Pique, 35, membuat pengumuman bahawa mereka kini sudah berpisah.

Pasangan yang hidup bersama selama 12 tahun dan mempunyai dua cahaya mata itu membuat kenyataan secara rasmi menerusi sebuah akhbar harian Sepanyol El Periodico.

Kami dengan rasa kesal mengesahkan bahawa kami berpisah. Demi kesejahteraan anak-anak yang menjadi keutamaan, kami memohon semua pihak memberi privasi kepada kami. Terima kasih atas kerjasama anda," kata pasangan itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas laporan media mengenai Gerard Pique curang dengan wanita lain.

Khabar angin juga mengatakan kedua-dua selebriti itu tidak lagi tinggal bersama.

Pasangan ini mempunyai dua anak lelaki iaitu Milan, 10, dan Sasha, 8, dan mengekalkan kediaman di Sepanyol.

Untuk rekod, kedua-duanya bertemu 12 tahun lalu apabila pemain bola sepak itu tampil dalam video muzik lagu Shakira "Waka Waka" yang menjadi lagu rasmi Piala Dunia 2010.

Video itu mempunyai lebih 3.1 bilion tontonan di YouTube. - DailyMail

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain