suria

Rugi kalau belum tonton... ‘The Trial Of The Chicago 7’ menang Filem Terbaik SAG Awards 2021

Filem terbitan Netflix, The Trial Of The Chicago 7 menang Filem Terbaik SAG Awards 2021.

FILEM terbitan Netflix, The Trial Of The Chicago 7 berjaya memenangi Filem Terbaik menerusi Anugerah Screen Actor Guild 2021 (SAG Awards 2021) yang berlangsung pada pagi Isnin.

Berdasarkan kemenangan tersebut, filem arahan Aaron Sorkin yang berkisarkan tentang perbicaraan anti keganasan kaum itu juga diramal berpotensi besar untuk meraih kejayaan dalam kategori sama untuk Anugerah Oscar yang bakal berlangsung pada 25 April ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarah tercipta, filem Asia pertama 'Parasite' diumum Filem Terbaik Oscar 2020

Selain itu, mendiang Chadwick Boseman dipilih pemenang untuk Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Ma Rainey's Black Bottom.

Chadwick meninggal dunia pada Ogos tahun lalu selepas beberapa tahun menderita penyakit kanser usus.

Henry Golding mengumumkan nama pemenang SAG Awards 2021 yang diadakan secara virtual. Foto: SAG Awards

Sementara itu, pelakon Korea Selatan, Youn Yuh-jung turut mencipta kejutan apabila berjaya memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Minari.

"Saya tidak tahu bagaimana mahu luahkan perasaan ini apabila hasil kerja saya diiktiraf pengkarya seni dari Barat, saya kelu dan tidak dapat berkata-kata," katanya yang teruja dengan kemenangan itu.

Tahun lalu, filem Korea Selatan, Parasite turut memenangi beberapa trofi utama SAG Awards 2020 sebelum mereka mencipta sejarah mengungguli Filem Terbaik Anugerah Oscar 2020.

SAG Awards 2021 diadakan secara virtual disebabkan pandemik Covid-19.

Masa tayangannya turut disingkatkan selama satu jam sahaja, berbanding dua jam kebiasaannya.

Antara penyampai trofi yang diundang untuk majlis itu ialah pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Henry Golding. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain