suria

Acha Septriasa rasa dihargai, kongsi pengalaman manis jalani penggambaran filem ‘Layla Majnun’ di Azerbaijan

Layla Majnun lakonan Acha Septriasa, Reza Rahadian dan Baim Wong ditayangkan di Netflix bermula Khamis.

PELAKON utama filem Layla Majnun, Acha Septriasa berkongsi pengalamannya menjayakan penggambaran filem tersebut di Azerbaijan.

Menerusi laporan Kompas, Acha berkata mereka seronok menjalani penggambaran di negara berkenaan kerana menerima layanan baik daripada penduduk setempat.

"Penduduk di sana sangat bersemangat dan memuji produksi Indonesia kerana mengangkat cerita ini, walaupun kebanyakan watak dimainkan oleh orang Indonesia tetapi ada juga bakat daripada negara itu.

"Rata-ratanya amat tertarik dengan tajuk filem ini, lebih-lebih lagi ada pelakon tempatan yang juga merupakan mahasiswa bahasa Indonesia di sebuah kampus di sana.

"Sepanjang penggambaran saya masih ingat, saya digelar dengan panggilan Layla, Layla... mereka bertanya adakah saya bakal memegang watak Layla? Saya kata ya, mereka teruja," katanya.

Bukan itu sahaja, Acha juga meluahkan rasa gembira apabila membaca komen daripada pujian dan kata-kata semangat daripada peminat filem di Azerbaijan.

Filem Layla Majnun versi Indonesia mengisahkan mengenai Layla yang dijodohkan oleh orang tuanya dengan Ibnu lakonan Baim Wong.

Bagaimanapun Layla menemui Samir (Reza Rahadian) seasa berada di Azerbaijan dan bermula itulah kisah percintaan mereka berputik.

Filem arahan Monty Tiwa ini ditayangkan di platform penstriman video terkenal, Netflix bermula Khamis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain