suria

Baju dipakai BTS dalam MV Dynamite catat bidaan paling tinggi RM655,187 untuk majlis amal

Baju yang digayakan BTS pada babak akhir MV Dynamite berjaya dilelong pada harga RM655,187.

KESEMUA tujuh pakaian berwarna pastel yang digayakan kumpulan popular Kpop, BTS dalam muzik video single Dynamite telah berjaya dilelong pada harga yang tinggi iaitu AS$162,000 (RM655,187).

Pakaian itu dibida oleh dua pembeli iaitu pengumpul koleksi seni, Yusaku Maezawa dan YouTuber popular dari Jepun, Hikakin.

Baju yang digayakan BTS dalam muzik video itu dilelong oleh badan kebajikan, MusiCares Charity Relief yang dianjurkan oleh Julien's Auctions, berpangkalan di Beverly Hills, Amerika Syarikat.

Ia bertujuan untuk membantu para karyawan seni yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 yang masih lagi membelenggu seluruh dunia.

BTS juga pernah menyumbangkan mikrofon peribadi mereka untuk dilelong dalam majlis kebajikan yang sama beberapa tahun lalu.

Sehingga kini, muzik video Dynamite sudah mencecah sebanyak lebih 823 juta tontonan sejak ia mula dilancarkan pada 21 Ogos tahun lalu.

Menerusi single Dynamite juga, BTS yang dianggotai oleh RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook telah berjaya mencipta sejarah apabila bergelar penyanyi Korea Selatan pertama tercalon dalam anugerah muzik berprestij, Grammy.

Mereka tercalon untuk kategori Persembahan Duo/Kumpulan Terbaik. Empat lagi pencalonan dalam kategori sama ialah lagu Un Dia nyanyian J Balvin, Dua Lipa, Bad Bunny dan Tainy, Intentions (Justin Bieber feat Quavo), Rain On Me (Lady Gaga dan Ariana Grande) dan Exile (Taylor Swift feat Bon Iver).

Anugerah Grammy ke-63 akan berlangsung pada 14 Mac ini. - Rolling Stone

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

BTS, kpop, baju lelong BTS

Artikel Lain