suria

"Alhamdulillah kita udah semobil lagi... Yuk pulang" - Ifan (Seventeen) sahkan isteri meninggal dunia

Ifan mengesahkan isterinya, Dylan Sahara meninggal dunia selepas menjadi mangsa tsunami yang melanda Selat Sunda Sabtu lalu.

NASIB isteri kepada vokalis kumpulan Seventeen, Ifan iaitu Dylan Sahara akhirnya terjawab apabila dia disahkan meninggal dunia selepas menjadi mangsa kejadian tsunami yang melanda Selat Sunda pada Sabtu lalu.

Ifan atau Riefian Fajarsyah, 35, mengesahkan perkara itu menerusi Instagram miliknya kira-kira pukul 9 malam (waktu Malaysia).

ARTIKEL BERKAITAN: Tsunami Selat Sunda: Vokalis Seventeen selamat, isteri pula masih hilang

"Alhamdulillah udah ketemu istriku @dylan_sahara. Makasih ya temen-temen doanya, cuma Allah yang bisa bales kebaikan temen-temen. (Alhamdulillah sudah bertemu isteri saya, @dylan_sahara. Terima kasih kepada rakan-rakan atas doa, hanya Allah yang mampu membalas kebaikan anda semua).

"Minta tolong kirimin al-fatihah ya buat istriku @dylan_sahara InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma amin (Minta tolong sedekahkan al-fatihah ya buat isteri saya, @dylan_sahara InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma amin)," tulisnya.

Sementara itu, Ifan menerusi posting di Instagram pula memuat naik video yang memperlihatkan dia bersama jenazah isterinya berada dalam kenderaan dipercayai dalam perjalanan ke Jakarta.

Anggota Seventeen iaitu Andi (dari kiri), Ifan, Bani dan Herman.

"Alhamdulillah kita udah semobil lagi. Yuk pulang @dylan_sahara," (Alhamdulillah, kita sudah dalam kenderaan. Ayuh pulang) tulisnya pada kapsyen video tersebut.

Dalam perkembangan sama, Ifan turut mengesahkan pemain dram Seventeen iaitu Andi turut terkorban menjadikan kesemua anggota kumpulan itu meninggal dunia.

Mereka termasuk Bani (pemain bes), Herman (gitaris) termasuk kru, Ujang dan pengurus kumpulan itu, Oki Wijaya.

Ketika kejadian, Seventeen sedang mengadakan persembahan bersempena hari keluarga sebuah syarikat korporat di Tanjung Lesung Resort, Banten. - TRIBUNWOW.COM

Ifan, Dylan Sahara, Seventeen

Artikel Lain