Berita isteri sudah ditemui palsu, Ifan (Seventeen) tetap menantikan isterinya - Bintang Global | mStar

Berita isteri sudah ditemui palsu, Ifan (Seventeen) tetap menantikan isterinya

Nasib isteri kepada vokalis kumpulan Seventeen, Ifan iaitu Dylan Sahara masih belum diketahui.

NASIB isteri vokalis kumpulan Seventeen, Ifan iaitu Dylan Sahara masih belum diketahui walaupun ada sumber mendakwa pelakon sinetron itu terselamat dan berada dalam keadaan baik selepas menjadi mangsa Tsunami yang melanda Selat Sunda pada Sabtu lalu.

Rakan baik kepada Ifan iaitu Ifan Govinda mengesahkan berita penemuan Dylan yang tersebar sejak semalam adalah tidak benar.

"Ada info mengatakan Dylan berada dalam keadaan selamat dan dibawa ke sebuah klinik di SMP A. Saya telefon sendiri Ifan dan dia mengesahkan ia berita palsu selepas dia sendiri ke sana untuk mencari isterinya," kata Ifan Govinda.

ARTIKEL BERKAITAN: Tsunami Selat Sunda: Vokalis Seventeen selamat, isteri pula masih hilang

Luahan Ifan di Instastory menyentuh hati.

Ketika kejadian Dylan menemani suaminya mengadakan persembahan bersama Seventeen bersempena hari keluarga sebuah syarikat korporat di Tanjung Lesung Resort, Banten sebelum Tsunami melanda.

Akibat kejadian tersebut, dua anggota kumpulan itu, Bani (bes), Herman (gitar), berserta seorang kru, Ujang dan pengurus mereka, Oki Wijaya terkorban.

Ifan menerusi Instagram peribadinya turut memaklumkan kesemua mereka akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing pada Isnin.

Ifan (dua dari kiri) bersama Bani (paling kiri, terkorban), Andi (masih hilang) dan Herman (paling kanan, terkorban).

Selain isterinya, seorang lagi anggota Seventeen, Andi (drum) masih belum ditemui.

Sementara itu, Ifan Govinda memberitahu, Ifan enggan pulang ke Jakarta dan akan terus berada di Banten selagi tidak bertemu dengan isterinya.

Katanya, Ifan yakin Dylan berada dalam keadaan selamat dan akan terus berusaha mencari isteri kesayangannya itu.

Kru Seventeen, Ujang (kiri) dan pengurus mereka, Oki Wijaya turut terkorban.

Ifan dalam hantaran lain di Instastory mengundang kesedihan peminat apabila memberitahu dia tidak akan berganjak dan meminta isterinya menunggunya dan pulang bersama-sama.

"Pulanglah sayang, aku kangen banget (Pulanglah sayang, aku rindu sangat).

"Aku masih di sini, tak ke mana-mana, aku jemput kamu, kita pulang sama-sama sayang ya. Tunggu ya," tulisnya. - TRIBUN JAKARTA 

Ifan , Seventeen

Artikel Lain