suria

Fergie, Josh Berpura-Pura Masih Cinta

Josh Duhamel dan Fergie mengumumkan perpisahan mereka pada minggu lalu.

PENYANYI Fergie memberitahu sukar untuknya berpura-pura bahagia bersama suami, Josh Duhamel walaupun pada hakikatnya sudah tiada cinta dalam hati masing-masing.

Fergie yang mengumumkan perpisahannya dengan Josh minggu lalu mendedahkan mereka tidak tinggal sebumbung sejak awal tahun ini namun merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum.

"Apabila kami perlu melakukan temubual bersama majalah atau program televisyen ia sangat sukar apabila kami ditanya mengenai rumah tangga atau kisah percintaan sebelum berkahwin.

"Pada awalnya kami masih boleh berpura-pura seperti tiada apa berlaku namun lama kelamaan ia menjadi pelik.

"Kami tidak boleh lagi hidup dalam kepura-puraan dan sebab itu kami tampil memberitahu kami sudah berpisah sejak awal tahun ini," katanya seperti dilaporkan People.

Pasangan ini bersama anak mereka, Axl.

Pasangan itu berkahwin pada 2009 selepas lima tahun bercinta dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Axl, empat tahun.

Dalam pada itu, Fergie, 42, menegaskan hubungannya dengan Josh masih kekal baik dan mereka saling menghormati selain bersetuju membesarkan anak mereka bersama-sama.

"Dia sentiasa menjadi seorang yang istimewa pada saya dan kami kawan yang baik jadi tiada sebab mengapa saya dan Josh ingin bermusuh.

"Axl adalah keutamaan kami dan ingin memastikan dia mendapat kasih sayang secukupnya," katanya.

Fergie kini sedang sibuk mempromosikan album solo pertamanya dalam masa 11 tahun, Double Dutchess yang dilancarkan sejak 22 September.

Fergie, Josh Duhamel

Artikel Berikut

Artikel Lain