suria

Pelakon 'The Elephant Man', John Hurt Meninggal Dunia

John Hurt meninggal dunia pada usia 77 dipercayai akibat kanser pankreas.

LOS ANGELES: Pelakon lagenda John Hurt yang terkenal menerusi filem seperti Midnight Express dan The Elephant Man meninggal dunia pada Sabtu.

John, 77, pada 2015 pernah mendedahkan dia menghidap kanser pankreas.

Kematiannya disahkan oleh ejennya, Charles McDonald, demikian lapor Daily Mail.

Pelakon veteran itu meninggalkan isteri, Anwen Rees-Myres dan dua anak lelaki Alexander dan Nick hasil daripada perkahwinan ketiganya bersama Jo Dalton.

John sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Annette Robertson pada 1960, sebelum bercerai dan mengahwini Donna Peacock.

Selepas bercerai dengan Jo, John berkahwin dengan isteri keempatnya, Anwen pada 2005.

John yang dilahirkan di Derbyshire, England pada 1940 pernah melakonkan watak sebagai Mr. Ollivander menerusi filem Harry Potter and the Sorceror Stone dan Harry Potter and the Deathly Hallows.

Bagaimanapun kemunculannya menerusi Harry Potter and the Goblet of Fire dipotong.

Sepanjang kariernya, John pernah menerima dua pencalonan Anugerah Akademi iaitu pada tahun 1979 menerusi kemunculannya dalam filem Midnight Express.

Manakala wataknya sebagai John Merrick dalam The Elephant Man juga melayakkan dia mendapat pencalonan pada 1981.

Pada 2012, John diberi anugerah khas oleh Bafta Awards menerusi sumbangannya kepada pembangunan industri perfileman di Britian.

Sementara itu, pengarah Mel Brooks dalam menerusi entri di Twitter menyifatkan John sebagai seorang yang luar biasa dan berita kematian pelakon itu sebagai menyedihkan.

"Ia sangat menyedihkan apabila mengetahui John Hurt meninggal dunia. Dia adalah seorang yang cukup menakjubkan.

"Tiada siapa yang dapat berlakon dan meninggalkan kesan sepertinya dalam The Elephant Man. Dia akan dirindui," tulisnya.

J.K Rowling juga turut mengambil kesempatan mengucapkan takziah atas kematian John dan memberitahu dia akan sentiasa merindui lelaki itu.

John Hurt, The Elephant Man

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain