suria

Berita Mengejutkan: Pelakon Kanak-Kanak Siri 'Everybody Loves Raymond' Bunuh Diri

Barisan pelakon siri tv komedi popular, Everybody Loves Raymond. Mendiang Sawyer Sweeten di hadapan sekali (kiri) bersama saudara kembarnya Sullivan.

> Sawyer Sweeten, 19, bersama saudara kembarnya bawa watak anak Raymond dalam siri tersebut

> Sawyer menembak dirinya sendiri ketika pulang ke rumah keluarga di Texas pada Khamis

> Para pelakon siri Everybody Loves Raymond termasuk Ray Romano terkejut dengan insiden itu

> Dia mula berlakon siri itu sejak berusia 16 bulan bersama seorang lagi kembarnya

PELAKON kanak-kanak yang mencipta nama dalam siri komedi popular 'Everybody Loves Raymond' ditemui mati di Texas dipercayai akibat bunuh diri.

Sawyer Sweeten, 19, dipercayai menembak dirinya sendiri di hadapan anjung sebuah rumah selepas melawat keluarganya di Texas, Amerika Syarikat pada Khamis.

Sweeten muncul dalam 139 episod siri sitkom komedi itu bersama-sama saudara kembarnya Sullivan, membawa watak sebagai anak kembar Raymond.

Dia membawa watak Geoffrey Barone manakala saudara kembarnya membawa watak Michael.

Seorang lagi saudara perempuannya, Madylin turut membintangi siri tersebut membawa watak Ally iaitu kakak mereka.

"Pagi ini, satu tragedi yang sangat menyedihkan telah berlaku ke atas keluarga kami. Saudara kami iaitu  Sawyer Sweeten, telah ditemui mengambil nyawanya sendiri. Dia hanya beberapa minggu sahaja lagi akan meraikan ulangtahun kelahirannya yang ke-20," kata Madylin dalam satu kenyataan media.

Sebaik sahaja berita tentang kematiannya tersebar, bintang 'Everybody Loves Raymond' Ray Romano berkata: "Saya berasa begitu sedih dan terkejut dengan berita yang menyayatkan hati ini. Sepanjang saya bekerja dengannya dalam siri ini, dia adalah seorang remaja yang baik dan hebat."

Ibu kepada pelakon itu, Elizabeth telah memuatnaikkan foto-foto mendiang dalam laman Facebook dengan kata-kata betapa dia menyayangi kesemua anaknya itu.

Siri komedi, 'Everybody Loves Raymond' ke udara dari tahun 1996 - ketika mendiang masih berusia 16 bulan - sehinggalah ke tahun 2005.

Sitkom itu menjadi popular di seluruh dunia malah di sesetengah negara, ia masih lagi ditayangkan sebagai siri ulangan buat masa ini. Ia pernah memenangi siri sitkom terbaik dalam Anugerah Emmys pada tahun 2003 dan 2005.

Ia disifatkan sebagai siri komedi paling digemari di Amerika di samping 'Friends'.

Madylin, kakak Sawyer berkata; "Buat masa ini, pergilah kepada orang yang tersayang. Nyatakan tanpa was-was betapa mereka sangat disayangi oleh anda dan hilangkan rasa ragu-ragu di dalam diri mereka betapa mereka sangat bermakna dalam diri anda."

Sawyer dilahirkan di Brownwood, Texas pada 1995.

Tidak dinyatakan kenapakah Sawyer membuat keputusan untuk menamatkan nyawanya sendiri. Tidak ada laporan yang menyatakan bahawa dia adalah remaja yang bermasalah sebelum ini.

Artikel Lain