suria

'Kekasih' Ironman Gwyneth Paltrow Bercerai

Gwyneth Paltrow dan suaminya Chris Martin mengesahkan yang mereka akan bercerai juga akhirnya.

SEGALA-GALANYA telah berakhir! 'Kekasih' Ironman, Gwyneth Paltrow telah mengumumkan yang dia dan suaminya, Chris Martin telah memuktamadkan terma-terma perceraian mereka selepas setahun mengisytiharkan hasrat untuk berpisah.

Gwyneth, 42, dan Chris, 38, sama-sama mengiystiharkan hasrat mereka untuk berpisah pada Mac 2014.

Mereka berkahwin pada Disember 2003 dan dikurniakan dengan dua orang anak.

Menurut laporan portal berita TMZ, terma-terma perceraian mereka kini sedang diuruskan oleh pengurus peribadi masing-masing.

TMZ memetik sumber-sumber yang rapat dengan kedua-dua pelakon itu sebagai berkata yang dokumen perceraian mereka akan difailkan di mahkamah Isnin depan.

Antara terma-terma yang sedang diselesaikan itu ialah berkaitan dengan pembahagian harta dan hak penjagaan dua orang anak mereka iaitu Apple yang berusia 10 tahun dan Moses, sembilan.

Berhubung pembahagian harta sepencarian mereka, The Daily Mirror pula melaporkan yang kedua-duanya pada asasnya bersetuju untuk membahagikannya sama rata. 

Adalah dianggarkan mereka berkongsi kekayaan bernilai £120 juta. 

Sebelum ini media-media massa Amerika pada mulanya melaporkan yang mereka mungkin akan bersatu semula selepas dirakamkan bercuti bersama anak-anak di Mexico, awal April.

Tetapi laporan terbaru ini membuktikan yang ia ternyata tidak benar.

Martin kini dikaitkan dengan aktres Hunger Game, Jennifer Lawrence manakala Paltrow pula dengan salah seorang penerbit Glee, Brad Falchuk, 44.

Martin pernah dipetik oleh Radio 1 BBC sebagai berkata jika seseorang itu tidak dapat bersikap terbuka, dia tidak akan dapat menghargai apa yang ada di dalam dirinya.

"Jadi akhirnya kita mungkin bersama seseorang yang sangat istimewa, tetapi kerana isu yang kita sendiri hadapi kita tidak dapat meraikan perasaan istimewa itu dalam cara yang betul," katanya lagi.

Martin juga berkata yang dia tidak mahu mengharungi kehidupan masa depannya dengan perasaan takut, takut kepada rasa cinta, takut ditolak, takut akan kegagalan.

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, katanya, dia telah dibelenggu dengan bebanan ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain