suria

Usahawan Bumiputera Digesa Manfaatkan Potensi Industri Halal

REMBAU: Pasaran halal yang luas dengan nilai eskport industri halal Malaysia mencecah RM42 bilion pada 2015 sewajarnya dimanfaatkan usahawan Bumiputera bagi menjana pendapatan mereka.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata selain potensinya, permintaan dan perkhidmatan halal itu juga amat memberangsangkan.

"Industri halal semakin mendapat perhatian dan berpotensi tinggi untuk diterokai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pengilangan serta kerjasama penanaman vitato iaitu varieti ubi keledek,  antara Elegence Global Trading Sdn Bhd dan Gagasan Generasi Progresif (Next Generation Movement) di Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU) Pedas Halal Park, dekat sini, Selasa.

Elegence Global Trading Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Datuk Samsiah Yaakub manakala Gagasan Generasi Progresif oleh Pengerusinya Ir. Mohd Hassan KB Hamzah. Hadir sama Pengerusi Eksekutif Muslim Best Marketing (M) Sdn Bhd Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Mou itu turut membuktikan potensi bagi usahawan Melayu menghasilkan produk asli menerusi platform TPPU Pedas Halal Park secara besar-besaran untuk tujuan eksport.

Menurut Ahmad Jazlan, sejajar hasrat kerajaan menjadi hab halal dunia menjelang 2020, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga tidak terkecuali menyumbang kepada pembangunan halal Malaysia dan melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera Islam bertaraf global.

MARA menerusi sektor usahawannya bertindak menyediakan pelbagai kemudahan pembangunan usahawan dengan menyepadukan bahagian-bahagian di sektor usahawan mengikut skop khusus bagi membentuk transformasi ekosistem halal agensi itu.

Selain itu, bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad Jazlan berkata ekosistem ekonomi negara akan turut berubah susulan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Malaysia telah menandatangani TPPA yang mana dalam jangka masa dua tahun lagi, kita akan dapat menyaksikan perubahan ketara ekosistem ekonomi yang merentasi sempadan.

"Kita perlu mewujudkan syarikat besar untuk memanfaatkan TPPA yang membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Oleh itu, syarikat Bumiputera Islam harus merebut peluang tersebut," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain