suria

Pelan Transformasi Pos Malaysia Di Fasa Ketiga, Perkenal 13 Inisiatif Baharu

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd, yang pelan transformasinya kini mencapai fasa ketiga, meluluskan 13 inisiatif baharu untuk meningkatkan lagi hasilnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Penyedia perkhidmatan pos negara itu melancarkan pelan strategik lima tahunnya pada 2012, antara lainnya, untuk mempelbagaikan hasil.

"Kami mahu menggunakan sepenuhnya aset kami dan oleh kerana kebanyakan inisiatif lama mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk direalisasikan, akan ada inisiatif baharu diperkenalkan untuk memastikan syarikat bergerak seiring dengan rancangan kami untuk menjana lebih banyak hasil," katanya kepada pemberita pada pelancaran Pos Laju EziDrive-Thru, di sini, Selasa.

Mohd Shukrie berkata dalam tempoh empat hingga lima tahun lepas, syarikat itu menyaksikan hasilnya meningkat secara konsisten. 

"Dalam tahun kewangan yang berakhir pada 30 Mac, 2015, hasil kami berjumlah  RM1.7 bilion berbanding RM1 bilion kira-kira empat hingga lima tahun lepas. 

"Ia adalah peningkatan kira-kira 70 peratus," katanya.

Sementara itu, Mohd Shukrie berkata dengan pelancaran EziDrive-Thru itu, Pos Laju menyasar menambah bilangan stesen Pos Laju EziDrive-Thru kepada sepuluh pada akhir tahun daripada tiga yang ada sekarang. 

Syarikat itu ketika ini sedang mencari lokasi yang sesuai di seluruh negara untuk menawarkan perkhidmatan tersebut. 

"Menerusi EziDrive-Thru, pelanggan Pos Laju kini boleh menikmati pengalaman berbeza berbanding sebelum ini untuk menyerahkan barangan Pos Laju mereka dari dalam kereta kepada kakitangan EziDrive-Thru menerusi tingkap kereta," katanya.

Perkhidmatan itu membolehkan syarikat tersebut menambahkan pusat perkhidmatan pelanggannya dan menawarkan saluran selesa yang bersesuaian dengan gaya hidup sibuk mereka, menyediakan kemudahan kepada mereka untuk menghantar atau mengutip pakej mereka pada bila-bila masa yang mereka mahu dan di lokasi berdekatan. 

Serentak dengan itu, Pos Laju bakal melancarkan dua lagi stesen Pos Laju EziDrive-Thru di PPL Putrajaya dan Kelana Jaya dan kemudahan ini dijangka siap pada akhir September.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain